Vaksin: Pahang perintis program untuk orang asli

Abdul Rahman,(kanan) menyempurnakan simbolik perasmian program OAPSIC19 Pahang sambil diperhatikan Juli (dua,kiri) dan Johari (kiri) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis, pada Ahad.
Abdul Rahman,(kanan) menyempurnakan simbolik perasmian program OAPSIC19 Pahang sambil diperhatikan Juli (dua,kiri) dan Johari (kiri) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis, pada Ahad.
A
A
A

LIPIS - Pahang menjadi negeri perintis di negara ini apabila memperkenalkan program Orang Asli Pahang Sokong Imunisasi Covid-19 (OAPSIC19) bagi menangani penularan pandemik dalam kalangan masyarakat itu.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, seramai 54,000 orang asli di Pahang layak menerima vaksin tersebut dan setakat ini seramai 300 orang asli sudah menerima suntikan.

"Di Pahang terdapat 78,000 orang asli dan daripada jumlah itu seramai 54,000 orang asli yang layak menerima suntikan tersebut dan setakat ini lebih 600 orang asli di Pahang telah mendaftar untuk program imunisasi ini.

"Seperti orang lain, memang diakui ada masyarakat orang asli yang takut dan perlu diberikan penjelasan kerana sebelum ini ada yang lari namun dengan pengalaman pegawai dapat meraih keyakinan mereka untuk menerima suntikan ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena program Malaysia Prihatin KPLB di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di Kuala Lipis, pada Ahad.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),Profesor Dr.Juli Edo dan Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi.

Ujar Abdul Rahman lagi, seramai 148,000 daripada jumlah keseluruhan orang asli di negara ini iaitu 225,000 orang layak menerima suntikan tersebut mengikut syarat ditetapkan.

"Pahang adalah negeri tertinggi memiliki masyarakat Orang Asli diikuti Perak dan Kelantan," katanya yang juga Ahli Parlimen Lipis.

Sementara itu dalam majlis sama berlangsung penyerahan Bantuan Persediaan Persekolahan (BPP) bernilai RM3,015,200.00 juta kepada 4,044 peserta ladang Tanaman Semula Komersial Kampung Orang Asli (TSKOA) Pahang.

Artikel Berkaitan:

Jumlah tersebut meliputi lapan peratus daripada jumlah keseluruhan selepas 74 buah ladang TSKOA di Pahang mencatatkan lebihan keuntungan terkumpul lebih RM42 juta untuk tahun 2020

Turut berlangsung, penyerahan bantuan kewangan melibatkan nilai keseluruhan RM301,000 terhadap 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), 57 masjid dan 35 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lipis.