X

Kindly register in order to view this article
!

Alvin Goh, adik tak mengaku terima hasil aktiviti haram RM2.14 juta

A
A

KUALA LUMPUR – Goh Leong [email protected] Goh yang memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tujuh tuduhan menerima wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2.14 juta, dua tahun lalu.

Turut didakwa atas pertuduhan sama ialah adiknya, Goh Yeong Hui.

Alvin Goh, 32, yang kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor, tiba di mahkamah ini dengan memakai baju lokap berwarna putih manakala Yeong Hui, 28, memakai baju T kelabu lengan panjang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai Pengarah syarikat Malaysia House of Internet Sdn Bhd menerima wang sejumlah RM2.14 juta menggunakan akaun Public Bank daripada dua individu warga China yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Jalan Bukit Bintang, di sini antara 9 September dan 7 November 2019.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fat mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

“Jumlah ini sangat munasabah kerana mereka didakwa atas pertuduhan yang serius dengan hukuman yang berat malah jumlah dalam pertuduhan melebihi RM2 juta.

“Mengambil kira sejarah lampau, Alvin Goh mempunyai rekod melarikan diri dan gagal dikesan oleh pihak berkuasa tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong berkata, anak guamnya tidak melarikan diri sebaliknya dilepaskan dengan jaminan.

“Saya merayu anak guam saya diberi ikat jamin dengan kadar lebih rendah.

“Sebelum ini anak guam saya dituduh di Semenyih dengan pasport diserahkan kepada mahkamah, jadi tiada risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000 dengan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 24 Mei depan sebagai serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan tahanan Alvin Goh mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan sindiket perjudian dalam talian.

Pada 28 Oktober 2020, Sinar Harian melaporkan, Alvin Goh yang menjadi buruan polis selepas melarikan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya pada 11 Oktober tahun lalu, berjaya ditahan 15 hari kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Alvin Goh 'panjat pagar SPRM' kekal dalam tahanan polis

Alvin Macau Scam akhirnya kena cekup


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!