Kes Kemboja: Jadikan kejadian 47 tahanan sebagai iktibar

Wakil kerajaan Sarawak dan Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bersama 47 rakyat Malaysia yang ditahan.
Wakil kerajaan Sarawak dan Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bersama 47 rakyat Malaysia yang ditahan.
A
A
A

KUCHING - Jadikan kejadian yang menimpa 47 rakyat Malaysia sebagai iktibar, kata Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan.

Katanya, jangan diulangi kesilapan yang sama di masa akan datang kerana tawaran gaji yang lumayan dalam ribuan dolar Amerika itu ternyata tidak masuk akal.

“Jika benar tawaran gaji ribuan dolar Amerika, sudah pasti rakyat Kemboja akan diambil bekerja terlebih dahulu,” katanya kepada kesemua 47 tahanan yang dibebaskan secara rasminya pada Majlis Simbolik Penyerahan Rakyat Malaysia daripada Kerajaan Kemboja kepada Kerajaan Malaysia dan Sarawak di Siem Reap, sebuah bandar pelancongan di bahagian barat laut Kemboja.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes 47 tahanan: Wakil kerajaan adakan pertemuan dengan Kemboja

Semua tahanan dibebaskan tanpa dibicara setelah mendapat restu Perdana Menteri, Kemboja Hun Sen.

Othsman mewakili kerajaan Kemboja manakala Malaysia dan Sarawak diwakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Hadir sama, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pegawai kanan Wisma Putra termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phonm Penh, Ruzaimi Mohamad dan Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Deddy Faisal Ahmad Salleh.

Sementara itu, Fatimah Abdullah berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan Kemboja kerana memberikan kerjasama yang cukup baik dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses rundingan membawa pulang kesemua tahanan itu berlangsung sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kuasa ALLAH kita sudah diketemukan dengan orang seperti Datuk Othsman dan rakan-rakan beliau yang seikhlas hati membantu dalam usaha pembebasan.

“Begitu juga dengan usaha dan sokongan padu yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah,” katanya

Buat masa kini, kata Fatimah, kerajaan Malaysia sedang menguruskan pengangkutan membawa balik kesemua 47 warga Malaysia tersebut kembali ke tanah air.

“Pada mulanya kita bercadang untuk membawa balik secara berperingkat, tapi adalah lebih baiknya jika semua dapat balik secara berkumpulan, susah senang kita semua harung bersama,” katanya.