Kerajaan mahu perkasa MIB tangani isu masyarakat India

Halimah (tiga dari kanan) ketika melancarkan vaksin untuk semua pada Perasmian Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar pada Isnin. Hadir sama, Dr Chong Fat Full (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi (kanan) serta Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin (tiga dari kiri).
— foto BERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Halimah (tiga dari kanan) ketika melancarkan vaksin untuk semua pada Perasmian Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar pada Isnin. Hadir sama, Dr Chong Fat Full (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi (kanan) serta Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin (tiga dari kiri). — foto BERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

MUAR - Kerajaan akan memperkasakan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dalam usaha menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India khususnya golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pelan berkenaan akan ditambah baik dengan pembahagian tiga kluster iaitu modal insan, keusahawanan dan kerjaya serta kesejahteraan sosial bagi memastikan golongan sasar menerima manfaat menyeluruh.

“Sebelum ini, MIB dilancarkan pada 2017 namun pelan (sedia ada) terlalu luas skopnya dan tiada fokus kepada kluster. Jadi kita bangunkan semula pelan ini supaya Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara mudah melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Memandangkan pihak MITRA setiap tahun menerima peruntukan kerajaan kira-kira RM100 juta sekali gus ia akan digunakan sebaiknya mengikut perancangan yang ditetapkan untuk komuniti India,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Peringkat Negeri Johor di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full.

Untuk rekod, MIB dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2017 sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan kaum India bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Halimah menyerahkan replika cek bernilai RM4.056 juta kepada Dr Chong untuk diserahkan kepada 826 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri Johor bagi melaksanakan program dan aktiviti sekali gus menggerakkan agenda perpaduan nasional dalam sesebuah komuniti itu.

Sementara itu, Halimah dalam ucapannya menyeru ahli KRT agar lebih memahami Dasar Perpaduan Negara supaya dapat mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional termasuk lebih kreatif merancang dan melaksanakan aktiviti berimpak tinggi untuk komuniti di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hingga 10 April lalu, sebanyak 104,142 ahli jawatankuasa rukun tetangga di seluruh negara telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19. - Bernama