Polis mohon notis biru kesan Nicky Liow: Acryl Sani

Acryl Sani ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pesara Polis Diraja Malaysia, Anggota dan Waris Pasukan Gerakan Am di Masjid Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Acryl Sani ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pesara Polis Diraja Malaysia, Anggota dan Waris Pasukan Gerakan Am di Masjid Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon notis biru kepada Interpol (Polis Antarabangsa), bagi mengesan dan menangkap ahli perniagaan dalam buruan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan jenayah terancang di negara ini sekiranya berada di luar negara.

Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat, tentang orang yang menjadi perhatian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada agensi antarabangsa tersebut.

“Saya percaya jika (suspek) dapat dikesan, mereka (Interpol) akan memaklumkan kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada waris anggota Pasukan Gerakan Am, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari serta pesara PDRM di Masjid Bukit Aman di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, sebanyak RM535,500 disumbangkan kepada 1,051 pesara polis yang bermastautin di ibu negara oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, selain RM5,000 kepada anggota polis Batalion 3, Senoi Praaq, Bidor, Sarjan Norihan Tari dan balu mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang terlibat dalam insiden tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 Nov lalu.

Sebelum ini, media melaporkan polis melumpuhkan kumpulan jenayah 'Geng Nicky’, yang disyaki terlibat dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

Selain itu, PDRM turut merampas wang tunai ratusan ribu ringgit serta aset bernilai jutaan ringgit menerusi 70 serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Mengulas mengenai isu kumpulan kongsi gelap di negara ini, Acryl Sani berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan pergerakan kumpulan kongsi gelap, yang dipercayai melakukan kegiatan jenayah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Siasatan Jenayah sentiasa melakukan pemantauan dan mendapati sebahagian besar mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan kongsi gelap, telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sejak tahun lepas hingga tahun ini,” katanya.

Acryl Sani berkata, PDRM amat mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam, berkaitan salah laku jenayah oleh kumpulan kongsi gelap.

“Namun demikian, kadangkala kita (polis) ini selalu mendapat maklumat (berkaitan jenayah oleh kumpulan kongsi gelap) secara pukul rata atau 'here say' sahaja, (dan) tidak memberikan maklumat lengkap perkara yang disampaikan. Jadi ini akan menyulitkan polis untuk meneruskan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan-kumpulan kongsi gelap ketika ini mendiamkan diri, setelah pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka dan namun mereka sentiasa akan mencari peluang (untuk melakukan jenayah), apabila terdapat peluang.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 550 individu di atas pelbagai kesalahan berkaitan kongsi gelap melibatkan Geng 08, Geng 21, Geng 24 dan Geng 36 di sekitar Selangor, bagi tempoh 2019 hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, jenayah yang dilakukan mereka meliputi kes seperti pergaduhan, kerana perebutan kawasan penjualan dadah dan kawalan keselamatan, serta pemerasan ke atas premis-premis perniagaan. - Bernama