Apabila Islam hanya pada nama

A
A
A

KHAMIS lalu saya singgah sembahyang Asar di sebuah masjid yang di dalam kawasannya juga terletak sekolah rendah agama. Kedua-duanya tersergam indah kerana baru sahaja dibina semula.

Saya agak biasa dengan masjid itu kerana apabila saya merantau dari kampung di Kedah ke Kuala Lumpur pada tahun 1969, di kampung setinggan yang berhampiran dengan masjid itulah saya tinggal.

Saya gembira mendapati masjid itu berbangunan baharu dan dikembarkan dengan sekolah agama. Tetapi kegembiraan saya tidak kekal lama. Sebaik saja turun kenderaan, yang menyambut saya adalah sampah-sarap yang dibuang oleh murid-murid sekolah tersebut.

Pembalut aiskrim, plastik makanan segera, kotak dan botol minuman serta serpihan buku berselerak. Lantas saya bertanya diri sendiri apakah yang diajarkan kepada murid-murid yang pastinya seratus peratus Islam berkenaan Islam?

Bukankah Islam agama suci – agama ALLAH? Bukankan dalam Islam untuk sesuatu benda dan perkara diisytiharkan halal ia mesti bersih? Bukankah Islam agama kesejahteraan?

Melihat sampah-sarap yang dibuang merata-rata oleh murid-murid sekolah agama itu, saya serta-merta berasa tidak sejahtera. Buat ketika itu, Islam tidak memberikan kepada saya apa yang dijanjikannya iaitu kesejahteraan. Sebaliknya perasaan saya terganggu.

Maka untuk menyejahterakan diri saya dan mengembalikan ciri kesejahteraan kepada agama saya maka saya memungut dan memasukkan sampah yang bersepah itu ke dalam tong sampah yang disediakan.

Peralatan asas untuk menjaga kebersihan seperti tong sampah ada. Yang nampak tidak ada atau kurang adalah akhlak dan kefahaman asas mengenai Islam.

Artikel Berkaitan:

Saya diajarkan di sekolah agama yang saya hadiri selama empat tahun pada tahun 1950-an bahawa Islam ertinya sejahtera dan segala yang suci dan bersih adalah halal.

Babi tidak halal kerana ia kotor. Ia membawa banyak penyakit. Tetapi saya tidak jijik dengannya kerana saya tahu mengenainya.

Hari ini orang Melayu semuanya jijik dengan babi tetapi tidak ada masalah memakan hidangan yang bahannya mengambil sempena nama daging babi seperti “ham” (dibunyikan hem) dan “bacon” (dibunyikan bekon).

Ya lah, di Malaysia “ham” halal diperbuat daripada daging ayam belanda dan “bacon” daripada daging lembu. Tetapi kalau di Australia atau England, “ham” diperbuat daripada daging babi bahagian paha dan “bacon” daripada daging babi bahagian perut. Silap-silap minta burger termakan khinzir asli!

Kemudian setelah saya mula bekerja, saya diberitahu oleh penganjur perbankan Islam bahawa riba haram kerana ia kotor. Lantas kita memperkenalkan perbankan Islam yang bebas riba.

Hari ini orang Islam di Malaysia gembira dan bangga dengan perbankan Islam dan logo halal. Tetapi penyimpan dan peminjam utama sistem perbankan Islam bukan orang Islam kerana umat Islam terus tertinggal dalam bidang ekonomi. Pengguna utamanya adalah orang bukan Islam dan syarikat-syarikat antarabangsa yang mendapati pinjaman cara Islam lebih murah, saksama dan selamat.

Kemudian ketika saya menjadi ahli Majlis Perdagangan Malaysia-New Zealand, saya diberitahu yang banyak pengeluar susu dan daging negara itu menganut piawaian halal kerana standard kebersihannya yang tinggi.

Malangnya amalan dan ciri-ciri asas Islam seperti kebersihan serta penjagaan alam sekitar semakin diabaikan atau tidak pun diketahui. Sebaliknya, semakin ramai orang Islam Malaysia memperagakan keislaman atau kearaban mereka, semakin buruk pula akhlak dan budi pekerti mereka.

Ada yang sanggup memberi dan menerima hasil kegiatan haram malah menggunakannya untuk kegiatan-kegiatan agama seperti menaja haji dan umrah, memberi sedekah kepada fakir miskin dan membiayai masjid, surau dan tahfiz.

Ada pemimpin politik yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi secara terbuka mengaku yang mereka berbohong demi parti.

Saya cadangkan supaya menteri yang jaga hal-ehwal agama anjur lawatan untuk pegawai-pegawai masjid ke gereja dan tokong untuk membuat perbandingan rumah ibadat siapa lebih bersih, kemas dan terurus.

Malah elok juga guru agama dan pegawai agama diberi kefahaman mengenai agama-agama lain supaya sedikit sebanyak mereka tahu dan dengan itu lebih mampu mempertahankan agama mereka sendiri.

Saya memberikan markah “F” kepada sistem pendidikan Islam dan bukan Islam yang gagal melahirkan murid, pelajar dan penuntut yang berakhlak, berdisiplin dan berperikemanusiaan.

Apa guna masjid dan sekolah agama yang tersergam kalau ciri-ciri asas Islam seperti kebersihan, kesejahteraan, sopan santun dan timbang rasa tidak diamalkan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara