Syarikat pengeluar makanan Jepun mohon sijil halal Jakim

Hiroshi (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada jurufoto, Mohd Hafizie Mahamad Shabudin ketika lawatan duta tersebut di Wisma Bernama, hari ini. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain (kanan). - Foto Bernama
Hiroshi (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada jurufoto, Mohd Hafizie Mahamad Shabudin ketika lawatan duta tersebut di Wisma Bernama, hari ini. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banyak syarikat pengeluar makanan Jepun memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk produk mereka, kata Duta Jepun ke Malaysia Oka Hiroshi.

Menurutnya, syarikat-syarikat itu juga mahu menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk untuk memasarkan produk halal mereka ke destinasi lain.

"Sebaik mendapat sijil halal Jakim, mereka berharap dapat memulakan eksport, menjadikan Malaysia pintu masuk produk halal mereka ke pasaran lain," katanya ketika melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Isnin.

Hiroshi menambah, Jepun juga berminat untuk meneroka bidang kerjasama perdagangan baharu dengan Malaysia termasuk dalam peralatan perubatan dan teknologi.

Katanya, Jepun kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memerangi pandemik Covid-19, terutama di dua bidang iaitu dalam alat perubatan dan memberikan bantuan dan sokongan untuk sistem rangkaian sejuk bagi mengangkut vaksin.

Mengenai penubuhan kampus luar negeri pertama Universiti Tsukuba di Malaysia, menurutnya rancangan itu berjalan lancar dan kampus berkenaan dijangka dibuka pada 2023 dengan pendaftaran bermula tahun depan.

Beliau berkata, projek ini akan menjadi lambang kerjasama masa depan antara Malaysia dan Jepun ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kedutaan berusaha untuk terus meningkatkan hubungan sesama rakyat kedua-dua negara antaranya menerusi seni dan budaya, serta pelancongan.

Artikel Berkaitan:

“Kami harap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia, terutama generasi muda untuk berminat dengan apa sahaja mengenai Jepun, seperti animasi, pelancongan dan pendidikan. Saya fikir itu adalah titik permulaan yang bagus untuk membuat rakyat kita saling mengenali dengan lebih baik,” katanya.

Beliau juga menyatakan wujud asas hubungan yang kukuh Malaysia-Jepun di Malaysia yang dibina berdasarkan kepercayaan dan keyakinan antara rakyat kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Ketibaan Hiroshi dan setiausaha pertama kedutaan Mitsuhiko Sugita disambut Ketua Pegawai Eksekutif agensi itu, Datuk Mokhtar Hussain. - Bernama