Asyraf Wajdi harap Syed Saddiq tidak bersandiwara

Paparan skrin penyokong BN ‘menyerang’ Syed Saddiq ketika beliau berjalan berhampiran kumpulan penyokong BN.
Paparan skrin penyokong BN ‘menyerang’ Syed Saddiq ketika beliau berjalan berhampiran kumpulan penyokong BN.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman diharap tidak bersandiwara untuk mencetuskan ketegangan apabila memasuki kawasan penyokong BN pada Hari Pencalonan PRK DUN Semenyih hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan Syed Saddiq itu telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dan keraguan terhadap tujuan sebenar Ahli Parlimen Muar yang telah melanggar arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sedangkan jarak penyokong BN dan PH amat jauh dan berada di lokasi berbeza. Saya cuma berharap beliau tidak berniat melakukan sandiwara gimik sebagaimana yang pernah dilakukan beliau sebelum ini bagi mencetuskan suasana yang mengundang ketegangan!,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Diserang penyokong BN: Syed Saddiq lapor polis

Syed Saddiq cuba dikasari ketika penamaan calon

Pagi tadi, Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang selepas tamat penamaan calon pada PRK tersebut.

Serangan provokasi itu didakwa berlaku sebaik beliau keluar dari Pusat Penamaan Calon PRK DUN Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Satu laporan polis berkaitan kejadian serangan itu dibuat oleh Syed Saddiq di Balai Polis Sungai Way pada jam 2 petang.

Artikel Berkaitan:

Video insiden provokasi berdurasi 22 saat itu, juga tular di media sosial yang menunjukkan Syed Saddiq dikawal ketat polis dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, terdapat dakwaan daripada penyokong BN bahawa pegawai Syed Sadiq telah menunjukkan isyarat lucah ke arah mereka sehingga mencetuskan kemarahan.

“Saya tidak mahu terus berspekulasi mengenainya kerana jika berpanjangan versi pihak penyokong BN juga mendakwa bahawa pegawai Syed Saddiq yang memulakan provokasi dengan menunjukkan isyarat lucah.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya berasaskan laporan polis yang telah dibuat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya perbezaan politik tidak perlu sehingga berlaku perbalahan dan mencairkan nilai persaudaraan dan akhlak Islam.

“Paling utama, kita semua kena pastikan semangat muhibbah sebagaimana kempen di siri-siri PRK sebelum ini dapat diteruskan dalam PRK Semenyih kali ini.

“Kita semarakkan politik kasih sayang dan hormat menghormati berbanding politik permusuhan dan benci-membenci secara melampau,” jelas beliau.