X

Kindly register in order to view this article
!

Ahmad Fuzi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan

Ahmad Fuzi
A
A

GEORGETOWN - Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selepas menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 8 April lalu.

Ahmad Fuzi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang menyandang kedudukan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ketujuh selama 20 tahun.

Kon Yeow berkata, majlis penyerahan watikah pelantikan Tan Sri Ahmad Fuzi sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang akan diadakan pada 30 April di Istana Negara manakala Istiadat Angkat Sumpah Jawatan akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguruskan segala upacara dan istiadat pelantikan berkaitan dengan sebaik mungkin serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

"Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan memastikan proses peralihan ini berjalan dengan lancar," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di KOMTAR di sini pada Isnin.

Kon Yeow mewakili kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tun Abdul Rahman atas jasa serta bakti beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri selama ini.

Katanya, beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Abdul Rahman bagi memaklumkan warkah yang diterima pada jam 12.30 tengah hari pada Isnin.

"Segala jasa dan amanat yang diberikan oleh Tun Abdul Rahman selama ini kepada saya dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan senantiasa menjadi pedoman serta panduan dalam usaha kami untuk terus meletakkan kecemerlangan negeri Pulau Pinang di persada dunia," katanya.

Sementara itu itu, Ahmad Fuzi yang dilahirkan di Sungai Bakap pada 8 Januari 1949 mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara.

Beliau menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran pada 1972 dengan memulakan tugas di pelbagai jabatan di Kementerian Luar sehingga 2009.

Sebagai Ketua setiausaha kementerian itu, beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan negara dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa serta menganjurkan Sidang Kemuncak NAM dan Sidang Kemuncak OIC pada 2003 dan lain-lain persidangan.

Beliau juga merupakan Fellow Kehormat Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR); Anggota Lembaga Pemegang Amanah MERCY Malaysia, Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) dan lain-lain lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!