X

Kindly register in order to view this article
!

LZS agih bantuan zakat RM28 juta

Anhar (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan zakat kepada salah seorang penerima pada Program Bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS 2021 di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Utama, pada Isnin.
A
A

PUCHONG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan zakat bernilai RM28 juta kepada 61,315 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Menerusi kenyataan LZS, sebanyak RM8,667,350 diagihkan kepada seramai 17,787 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM18,079,900 diagihkan kepada 39,445 orang asnaf miskin dan RM1,285,650 diagihkan kepada 4,083 orang asnaf mualaf.

Menurut kenyataan itu, setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

"Bantuan tersebut akan disalurkan sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah V-Cash (baucar tunai) atau serahan tunai," kata kenyataan itu pada Program Bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS 2021 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Utama di sini pada Isnin.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir yang disampaikan kepada 10 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Hadir sama Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.

Kenyataan LZS memberitahu, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 11,962 penerima melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,183,300 pada tahun ini.

"Ia diikuti daerah Petaling seramai 10,590 penerima melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,927,850 dan daerah Hulu Langat mengagihkan sebanyak RM4,367,750 kepada 9,439 penerima.

"Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,034,500 kepada 6,798 penerima, daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat kepada 6,005 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM2,740,400 dan daerah Hulu Selangor mengagihkan kepada 5,186 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM2,367,400," katanya.

Kata kenyataan itu, tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,832 penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM2,227,500 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah penerima seramai 4,726 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM1,997,600 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,186,600 kepada 2,547 penerima," katanya.

Kenyataan itu memberitahu, pemakluman berkenaan bantuan kepada penerima yang layak dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat.

Menurut kenyataan itu, asnaf juga boleh membuat semakan status Bantuan Ramadan dan Raya 2021 dengan melayari ezo.zakatselangor.com.my atau menghubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!