Tumpu penggunaan sains, data untuk tingkatkan sektor pertanian

Hasni bergambar selepas menyampaikan replika cek kepada agensi - agensi yang terlibat pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Utama Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di Holiday Villa Johor Bahru pada Ahad.
Hasni bergambar selepas menyampaikan replika cek kepada agensi - agensi yang terlibat pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Utama Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di Holiday Villa Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada sains dan data dalam sektor pertanian sebagai usaha meningkatkan kecekapan, sekali gus menambah nilai dalam sektor itu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pertanian kini dilihat sebagai satu sektor yang penting kerana eksport produk berkaitan ke Singapura sahaja ialah RM8 bilion setiap tahun.

“Data pada tahun 2018 menunjukkan Singapura mengimport lebih kurang 16.4 peratus daripada jumlah makanan mereka dari negara ini dan angka berkenaan dijangka meningkat setiap tahun.

“Apabila saya menyebut mengenai data dan sains untuk menjayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan, kita perlu lebih maju bukan bukan sahaja sebagai pembekal bahan makanan mentah malah menambah nilai dalam pengeluaran produk pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Utama Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di Holiday Villa di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamal.

Menurut Hasni, terdapat anak syarikat milik kerajaan yang sinonim dengan sektor hartanah turut berminat mengembangkan pelaburannya dalam bidang pertanian.

“Ada syarikat milik kerajaan yang memiliki kira-kira 1,200 hektar tanah di Iskandar Puteri berjumpa dengan kerajaan negeri dan menyatakan mereka mahu melabur dalam sektor pertanian membabitkan tanaman tomato, cili dan tanaman terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini syarikat itu melihat ia adalah pelaburan yang sama pentingnya, nilai pulangannya juga sama sekiranya kita betul-betul memberi tumpuan dalam sektor pertanian yang bernilai tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua agensi kerajaan yang terlibat dalam sektor pertanian memantau peruntukan yang diberikan supaya dapat dimanfaatkan dalam sektor itu.

"Johor telah menerima peruntukan sebanyak RM35 juta daripada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi sektor pertanian.

“Kita mengambil pendekatan bahawa kerajaan melabur RM35 juta dalam sektor pertanian. Apabila kita melagur bererti kita mahukan pulangan,” katanya.