Pemalsuan sijil cemar integriti

A
A
A

KAJIAN saya semasa PRU14 menunjukkan bahawa ciri-ciri calon yang dipilih pengundi dalam pilihan raya adalah calon yang jujur, berkelulusan tinggi dan dekat di hati rakyat serta yang turun padang. Pengundi mahukan seorang calon yang mampu membawa perubahan dan membela kebajikan rakyat setempat dalam pelbagai hal.

Calon yang berkelulusan tinggi seperti ijazah, sarjana atau doktor falsafah (PhD) dianggap individu yang bukan sahaja berkebolehan di peringkat lokal tetapi juga global. Mereka yang berkelulusan tinggi dianggap memahami persoalan teori dan konsep dan diterjemahkan dalam bentuk praktikal, dasar dan aktiviti.

Data juga menunjukkan bahawa 83 peratus pemimpin dunia sama ada perdana menteri atau presiden mempunyai kelulusan minimum sarjana muda. Manakala 41 peratus berkelulusan dalam bidang pengajian politik dan ekonomi, 35 peratus dalam bidang undang-undang, 20 peratus dalam bidang ketenteraan dan 16 peratus dalam bidang sastera dan kemanusiaan. Jelasnya kelayakan akademik dan pengalaman dalam politik dan kemasyarakatan menjadi sinergi dan pelengkap sebagai pemimpin yang serba boleh.

Pemimpin politik sebaik boleh dilihat sebagai tokoh yang disegani oleh rakyat. Namun untuk menjadikan seorang ahli politik yang dihormati maka kelulusan tinggi amat diperlukan. Tetapi ia bukanlah satu syarat bagi menjamin kelangsungan dan penentu pengaruh dalam kalangan pengundi dan rakyat.

Ramai juga ahli politik dan pemimpin di dunia dan negara ini yang tidak mempunyai kelulusan pengajian tinggi, tetapi berjaya menambat hati rakyat kerana pengalaman dan kebolehan serta kejujurannya. Pemimpin sebegini diberikan kepercayaan sebagai menteri Kabinet dan menteri besar. Malahan pengalaman yang dilalui dalam dunia politik dianggap 'universiti' yang tidak ternilai harganya.

Dengan desakan dan persaingan politik yang semakin sengit masa kini menjadikan wujud segelintir ahli politik yang cuba mengaburi mata pengundi dan rakyat agar dilihat 'lebih berwibawa' dengan menggunakan sijil diploma dan ijazah palsu. Contohnya biodata calon tertera kelulusan serta nama universiti tempat calon menamatkan pengajian tinggi semasa menghantar borang pencalonan boleh diakses oleh sesiapa sahaja.

Malahan biodata atau resume ahli politik masih melekat dalam internet yang boleh dikesan dan diperoleh dengan mudah. Apatah lagi dalam era terkini kita boleh mengakses status kelulusan seseorang individu dalam sistem atas talian yang telah diwujudkan oleh pihak Kementerian Pendidikan atau pihak berwajib dalam pendidikan seluruh dunia.

Namun tindakan ahli politik mengunakan kelulusan palsu sebegini sebenarnya berbohong untuk mendapatkan sokongan. Tujuannya adalah jelas untuk meningkatkan lagi kredibiliti dan memenuhi ciri 'winnable candidate' yang dianggap penting bagi memancing dan memikat pengundi. Kita juga boleh membuktikan kelulusan yang dicatatkan sebelum seseorang pemimpin menafikannya.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya kenapa setelah sekian lama tercatat kelulusan seseorang pemimpin dalam Wikipedia misalnya, baru si empunya diri cuba menafikan atau mengatakan kenyataan berkenaan adalah salah atau berlaku sabotaj?

Sebenarnya pengundi dan rakyat tidak kisah kelulusan seseorang ahli politik tinggi atau rendah asalkan mampu membawa perubahan lebih baik kepada masyarakat setempat. Namun rakyat akan berasa marah, kesal dan malu jika pemimpin yang dipilih tidak jujur, berbohong dan menipu rakyat secara halus.

Sehubungan itu, adalah dicadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan undang-undang dan prosedur yang ketat dengan menyertakan salinan sijil atau kelulusan semasa menghantar borang pencalonan semasa penamaan calon. Begitu juga perkara ini perlu diambil kira di Bersih yang memperjuangkan ketelusan dalam pilihan raya.

Kita takuti jika masalah ini dibiarkan tanpa apa-apa tindakan akan menjadi ikutan oleh remaja dan generasi akan datang. Apatah lagi kini telah wujud banyak sindiket sijil atau ijazah palsu di internet. Dengan bayaran tertentu, seseorang individu tanpa perlu mengikuti apa-apa kelas pengajian atau menghadiri kuliah boleh mendapat sijil atas talian terutama di kolej atau universiti luar negara yang sebenarnya tidak wujud.

Namun yang lebih penting kegiatan menipu sijil ini telah menjatuhkan reputasi dan nilai integriti seseorang pemimpin. Sepatutnya pemimpin atau peneraju negara menjadi contoh dan ikon yang disegani bukan mencetuskan kontroversi sehingga menjatuhkan maruah dan imej negara.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian

Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM