Jadikan pembangkang rakan strategik majukan Melaka

Sulaiman (kiri) dan Hasim menunjukkan 'Coffee Table Book' Melaka 2035 selepas selepas menyempurnakan Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021di Hotel Hatten, di Banda Hilir, di sini pada Isnin.
Sulaiman (kiri) dan Hasim menunjukkan 'Coffee Table Book' Melaka 2035 selepas selepas menyempurnakan Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021di Hotel Hatten, di Banda Hilir, di sini pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Wakil rakyat pembangkang bukan musuh politik tetapi rakan strategik dalam kerajaan yang bersama memajukan Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, ruang politik tidak wajar menjadi 'daerah kesumat dan dendam' tetapi sebagai medium perpaduan dan kestabilan yang menyenangkan rakyat.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai dalam tempoh genap setahun mentadbir tidak akan dicapai jika dilakukan seorang diri, namun direalisasikan dengan semangat berpasukan yang tinggi daripada pelbagai pihak termasuk barisan Exco.

"Di bawah pentadbiran saya, pembangkang bukan musuh politik tetapi rakan strategik yang berjuang dalam memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat negeri ini.

"Terima kasih dan tahniah kepada barisan sahabat pembangkang, saya beri jaminan dan komitmen 100 peratus bahawa pentadbiran ini akan terus mengukuh prinsip prihatin rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021 di Hotel Hatten, di Banda Hilir, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan yang sekarang pembangkang di negeri ini mempunyai manifesto tersendiri namun beliau yang mengambil alih pentadbiran negeri 'di pertengahan jalan' menganggap fikiran serta kepuasan rakyat itu merupakan manifesto.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menerusi pentadbiran kerajaan negeri juga berjaya dalam pentadbiran walaupun terpaksa bergelut dengan pandemik Covid-19 dan cabaran lain termasuk krisis air, ekonomi dan politik.

"Saya terima apa sahaja kritikan termasuk daripada rakan strategik sebagai pendorong untuk memajukan Melaka," katanya.

Antara kejayaan Melaka ialah mengurangkan hutang kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM179 juta dalam tempoh setahun, mengurangkan kadar pengangguran pada kadar terendah sehingga 1.1 peratus dan masalah bekalan air diselesaikan menerusi projek bekalan air yang menelan kos RM1.2 billion.

Selain projek koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dan naik taraf Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) kepada Universiti Melaka (UniMEL) serta sasaran pelaburan RM5 bilion pada tahun ini.