JIPS buka siasatan tatatertib terhadap suami Serina

Mior Faridalathrash (tengah) pada sidang akhbar pada Isnin.
Mior Faridalathrash (tengah) pada sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Polis telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap suami pelakon, Serina Redzuawan yang juga merupakan pegawai polis selepas didapati tidak membuat permohonan berkahwin kali kedua ketika melangsungkan pernikahan, Februari lalu.

Siasatan itu dibuat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selepas bekas isteri pertama pegawai berpangkat inspektor terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 2 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan berkenaan bagaimanapun diserahkan kepada IPK Perlis memandangkan pegawai berkenaan telah bertukar tugas di kontinjen negeri itu.

"Pegawai ini dahulunya bertugas di sini sebagai pegawai trafik, namun telah melapor diri sebagai pegawai siasatan jenayah Kontinjen Perlis sejak 2019 lagi.

"Saya difahamkan kertas siasatan tatatertib telah dibuka ke atas pegawai berkenaan kerana tidak memohon berkahwin kali kedua.

"Siasatan ini masih berjalan dan diserahkan kepada JIPS IPK Perlis memandangkan pegawai itu telah ditukarkan ke sana," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata, dalam situasi berkenaan tindakan tatatertib hanya boleh dikenakan sekiranya siasatan membuktikan pegawai itu tidak mengemukakan permohonan berkahwin kali kedua kepada jabatan.

Katanya setakat ini, pihaknya dimaklumkan, perkahwinan pegawai bersama anak perempuan cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu berdaftar secara sah menerusi Jabatan Agama Islam Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Hanya jika tidak minta kebenaran (sebagai anggota polis), barulah polis ambil tindakan tatatertib melalui jabatan.

"Ianya bergantung kepada hasil siasatan nanti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tak bernikah di Siam'- Serina

Pada Ahad, sebuah portal melaporkan seorang wanita mendakwa dia masih bergelar isteri kepada pegawai polis terbabit semasa bekas suaminya itu melangsungkan perkahwinan dengan Serina.

Dakwa wanita itu, pasangan berkenaan dipercayai bernikah secara senyap di Perlis pada pertengahan Februari lalu di mana dia pula diceraikan lelaki itu pada 9 Mac lalu.

Mior Faridalathrash terdahulu ditemui pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak serta Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai.