Pemandu lori tak mengaku salah rasuah

Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin atas pertuduhan merasuah seorang pegawai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dua tahun lalu.

Tertuduh, Chiang Kok Jen, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Kok Jen didakwa telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM3,000 kepada seorang pegawai SWCorp pada 9 November 2019, kira-kira jam 9.15 malam di Pejabat SWCorp, Johor Bahru.

Ia sebagai dorongan kepada pegawai berkenaan untuk tidak membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang keatasnya kerana membuang sampah dan sisa pepejal di tempat yang tidak dibenarkan.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak 5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shatesh Kumaran manakala tertuduh diwakili peguam, K. Bharati.

Artikel Berkaitan: