Azmin memang pandai soal video dan audio: Anwar

Anwar (tengah) pada sidang media Majlis Pengumumam Kemasukan Tokoh Agamawan ke dalam PKR di sebuah hotel di Seremban pada Isnin.
Anwar (tengah) pada sidang media Majlis Pengumumam Kemasukan Tokoh Agamawan ke dalam PKR di sebuah hotel di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - "Takpelah, itu pandangan dia. Berkenaan dengan video dan audio ini, dia memang pandai. Kenyataan saya ringkas tetapi maknanya mendalam."

Demikian maklum balas ringkas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dakwaan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu penyebaran rakaman audio didakwa mirip suara beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Pengumuman Kemasukan Tokoh Agamawan ke dalam PKR di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan yakin bahawa rakaman audio didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid yang tular baru-baru ini adalah sahih.

Mohamed Azmin yang juga bekas Setiausaha Sulit Anwar menyifatkan perkara itu sebagai satu pengkhianatan terbesar khususnya dilakukan oleh Anwar jika audio tersebut dibuktikan benar.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin yakin rakaman audio tular sahih, minta polis segera siasat

Mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menasihatkan beliau dan Ahmad Zahid membuat laporan polis berhubung penyebaran audio perbualan telefon itu, Anwar memberitahu bahawa Ketua Polis Negara itu mempunyai banyak kerja untuk menyiasat audio dan video yang belum diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis nasihat Zahid, Anwar buat laporan

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 15 individu yang mempunyai latar belakang agama diumumkan menyertai PKR antaranya bekas Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Datuk Baharum Hasbullah.

Selain itu, tiga bekas ahli Pas iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Razali Hassan; bekas Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad dan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Seremban, Mohd Rais Mustafa Kamal.

Anwar percaya penyertaan kesemua individu berkenaan yang mempunyai pengalaman dan kebolehan dalam pelbagai disiplin dapat memberikan suntikan serta semangat baharu kepada PKR.

"Saya optimis dan percaya ia juga bakal mengisi dan menambah baik semangat memungkinkan islah serta membuktikan Keadilan (PKR) sebagai wadah untuk semua iaitu golongan profesional, seniman, agamawan dan lain-lain.

"Saya percaya penyertaan mereka ini bukan yang terakhir dan akan ada lagi menyertai PKR selepas ini," katanya.