395,891 individu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19

Seramai 395,891 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Ahad. - Foto 123RF
Seramai 395,891 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Ahad. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 395,891 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Ahad.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama 583,903 telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 979,794.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 77,252 diikuti Sarawak (61,890), Sabah (54,070), Perak (52,679) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 52,617 individu diikuti Perak (43,394), Sabah (41,267), Kuala Lumpur (33, 603) dan Sarawak (32,052).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat Ahad seramai 8,513,651 atau 35.10 peratus telah mendaftar dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,277,009.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama

Artikel Berkaitan: