Kempen Cuti-Cuti Malaysia tawar pelbagai pakej skuba

 Orang ramai kini boleh menikmati aktiviti selam skuba dan menerokai khazanah hidupan marin menerusi pakej istimewa melalui Kempen Cuti-Cuti Malaysia (CCM) ‘Jom Dive!’ . Gambar hiasan 123rf
Orang ramai kini boleh menikmati aktiviti selam skuba dan menerokai khazanah hidupan marin menerusi pakej istimewa melalui Kempen Cuti-Cuti Malaysia (CCM) ‘Jom Dive!’ . Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai kini boleh menikmati aktiviti selam skuba dan menerokai khazanah hidupan marin menerusi pakej istimewa melalui Kempen Cuti-Cuti Malaysia (CCM) ‘Jom Dive!’, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, kempen pelancongan terbaharu Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penyelam Skuba Malaysia bermula hari ini (Isnin) hingga 31 Mei depan itu, menawarkan potongan harga istimewa bagi lesen aktiviti selam skuba selain pelbagai pakej pelancongan menarik.

Katanya, usaha itu bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengunjungi pulau-pulau di negara ini serta menikmati kepelbagaian khazanah marin.

“Sebanyak 1,000 pakej selam skuba ditawarkan berdasarkan terma dan syarat ‘siapa cepat, dia dapat’, selain pemberian diskaun sebanyak RM450 bagi setiap pembelian pakej berharga RM1,000 dan ke atas dalam satu resit.

“Menerusi kempen ini, diharapkan dapat meningkatkan keyakinan rakyat untuk melancong serta menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik dengan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nancy berkata, usaha itu sekali gus diharap dapat memupuk minat, kesedaran serta rasa kecintaan orang ramai terhadap keindahan dasar laut semula jadi yang terdapat di dalam negara.

Maklumat lanjut berkenaan kempen ini boleh melayari laman sesawang Tourism Malaysia, www.malaysia.travel atau platform www.xtvt.com.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: