Angkasa saran ahli koperasi teroka industri akuakultur

Abdul Fattah (tengah), Azhar (kiri) selepas selesai menandatangani MoU di antara Angkasa dengan GK Aqua Sdn Bhd di Ladang 100 Ekar, Bukit Pelanduk, Port Dickson pada Isnin.
Abdul Fattah (tengah), Azhar (kiri) selepas selesai menandatangani MoU di antara Angkasa dengan GK Aqua Sdn Bhd di Ladang 100 Ekar, Bukit Pelanduk, Port Dickson pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk membangunkan 500 ahli koperasi penternak udang galah dalam usaha menggalakkan perkembangan industri akuakultur dalam sektor tersebut.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, melalui industri akuakultur, ahli koperasi terutama daripada golongan B40 disaran meneroka bidang pergantian penternakan udang galah dan padi.

"Dalam program penternakan udang galah secara berkelompok ini, pasaran sudah tersedia dan ahli koperasi yang berminat akan dibantu dari segi tapak penternakan dan teknologi melalui kerjasama Angkasa dengan GK Aqua Sdn Bhd.

"Saya yakin, dengan kerjasama ini kita dapat memperluas kepakaran khususnya dalam teknologi akuakultur terkini kepada koperasi," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Angkasa dengan GK Aqua Sdn. Bhd. di Ladang 100 Ekar, Bukit Pelanduk, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengasas GK Aqua Sdn Bhd, Datuk Azhar Bharuddin; Ketua Pegawai Eksekutif GK Aqua Sdn Bhd, Giva Kuppusamy dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sembilan, Datuk Ibrahim Abdullah.

Abdul Fattah yang juga merupakan Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata, Angkasa selaku badan puncak kepada gerakan koperasi di Malaysia sentiasa berusaha dan membuat perancangan khususnya mencari peluang perniagaan baharu.

"Ia bagi meningkatkan pembangunan ekonomi koperasi terutama untuk membangunkan usahawan kumpulan B40," katanya.

MoU di antara Angkasa dan GK Aqua Sdn Bhd selama setahun ini mengkhususkan industri penternakan udang air tawar dengan sasaran 500 penternak golongan B40 membabitkan 500 ekar tanah.

Artikel Berkaitan: