Harga minyak sawit dijangka naik

Shamsul Iskandar
A
A

MELAKA - Harga minyak sawit negara dijangka naik secara berperingkat sehingga mencecah RM2,400 satu tan pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata berdasarkan kajian dilakukan Reuters, peningkatan harga itu disebabkan beberapa faktor termasuk permintaan tinggi untuk industri coklat dan bahan bakar di peringkat global dan tempatan.

"Ia tentunya satu khabar gembira untuk industri minyak sawit terutama pekebun kecil dan kalau kita lihat harga komoditi itu semakin hari semakin meningkat jika dibandingkan pada bulan November tahun lepas yang menunjukkan peningkatan dari RM1,600 satu tan sehingga melepasi RM2,000 satu tan pada hari ini.

"Namun kita perlu ingat bahawa untuk memastikan peningkatan harga ini terus berlaku, permintaan dan tawaran untuk komoditi ini perlu seiring. Kalau tawaran banyak tetapi permintaan sedikit, ia akan menyebabkan harganya jatuh," katanya kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Wabak Denggi di Taman Paya Dalam di sini, hari ini.

Beliau berkata pelbagai cabaran yang dihadapi kerajaan terutama kementeriannya antaranya menangkis pelbagai tuduhan khususnya oleh Kesatuan Eropah mengenai kualiti minyak sawit negara.

Katanya tindakan kesatuan itu yang melabel lebih 2,000 produk makanan sebagai 'No Palm Oil' dalam usaha memboikot minyak sawit negara turut memberi kesan terhadap usaha kerajaan memperluas penggunaan komoditi itu.

Shamsul Iskandar berkata usaha mendapatkan pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dijangka dapat dicapai menjelang tahun hadapan kerana pensijilan itu penting terhadap indsutri minyak sawit negara untuk jangka masa panjang.

Beliau berkata melalui pengiktirafan itu, ia dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti minyak sawit negara sebagai antara yang terbaik selain memperkasa industri tersebut.

Dalam perkembangan lain, katanya pekebun getah digesa menuntut insentif pengeluaran getah yang disediakan kerajaan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mengurangkan beban golongan tersebut terutama apabila harga komoditi itu jatuh atau pada musim tengkujuh.

"Setakat ini, hanya kira-kira 20 peratus daripada kira-kira 400,000 pekebun getah di negara ini menuntut insentif tersebut. Sebagai contoh sekarang ini, kita telah menetapkan paras harga pengaktifan iaitu RM2.50 sekilogram dan sekiranya harganya jatuh kepada RM1.80 sekilogram, maka pekebun boleh menuntut insentif 70 sen (bagi setiap kilogram) daripada LGM," katanya. - Bernama