Permit tanah: Macam ada tak kena, kata Saarani

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak perlu tampil memberikan penjelasan sebenarnya berhubung isu kelulusan projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di Hutan Simpan Bukit Kledang dan Bukit Kinta.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penafian yang dibuat Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mencetuskan tanda tanya bagaimana Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu boleh mengatakan syarikat yang diberikan kelulusan itu akan bekerjasama dengan MTIB.

"Kenyataan oleh MTIB semalam yang menafikan mereka bekerjasama dengan syarikat itu menunjukkan kerajaan negeri seolah-olah berbohong dengan rakyat. Macam ada yang tak kena.

"Jadi kerajaan negeri perlu tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik kelulusan yang dikeluarkan pihak Jabatan Perhutanan Perak itu," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi MTIB, Wong Tack yang menafikan pihaknya menjalin kerjasama dengan syarikat dinyatakan dalam projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta, di sini.

Terdahulu, Ahmad Faizal mengakui kerajaan negeri memberikan kelulusan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi mengikut prosedur ditetapkan.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara tersebut supaya siasatan terperinci dibuat terhadap isu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tular lulus permit: Biar saya semak dulu, kata MB Perak

Artikel Berkaitan:

Giliran UMNO persoal kelulusan permit tanah 400 hektar

Permit tanah: Kerajaan sudah pertimbang ulasan jabatan