Pensyarah menang Mercedes Benz C200

Sonita bergambar bersama kereta yang dimenangi beliau.. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sonita bergambar bersama kereta yang dimenangi beliau.. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR- Siapa sangka dengan hanya membuat simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) serendah RM30 sebulan, seorang pensyarah, Sonita Sudin berjaya membawa pulang kereta mewah Mercedes Benz C200 FL AMG Line.

Sonita yang juga seorang ibu tunggal merupakan pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang diumumkan sebagai pemenang tempat pertama bagi cabutan WOW! SSPN-i Plus tahunan 2020.

Sonita tidak menyangka hanya dengan menyimpan jumlah minimum yang ditawarkan dalam skim SSPN-i Plus bagi ketiga-tiga anaknya itu, beliau berpeluang memenangi hadiah utama itu.

“Dengan jumlah simpanan yang minimum, saya pun tidak sangka saya akan memenanginya.

“Saya mengambil masa untuk percaya mengenai kemenangan ini. Sehingga ke hari ini, baru saya betul-betul percaya,” katanya semasa ditemui ketika Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan WOW! SSPN-i Plus Tahunan 2020 di sini pada Ahad.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif NZ Wheels Sdn Bhd, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan.

Selain daripada penyerahan kereta mewah bernilai lebih RM270,000, turut diraikan pada majlis itu ialah pemenang tempat kedua, Muhammad Zulfadli Hadri Abdul Rahim yang memenangi hadiah wang tunai RM50,000 dan pemenang tempat ketiga, Lim Kee Hau yang membawa pulang RM30,000.

Mengulas mengenai kebaikan skim SSPN-i Plus, Sonita berkata, selain daripada menyimpan untuk masa depan pendidikan anak-anak, terdapat faedah lain yang turut menarik minatnya terhadap skim simpanan pendidikan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Pada peringkat pendidikan yang lebih tinggi, banyak perbelanjaan yang perlu disediakan. Sebagai contoh, situasi yang berlaku di matrikulasi, ada sesetengah ibu bapa yang tidak bersedia.

“Kalau menabung serendah RM30 daripada anak itu kecil, sekurang-kurangnya pada umur 18 tahun dia boleh ada RM7,000 ke 8,000 dalam tangan. Sikap menabung anak-anak daripada kecil itu sangat penting.

Sonita (tengah) bergambar di hadapan kereta yang dimenanginya bersama dengan Ahmad Dasuki (kiri) dan Nik Hamdam (kanan) ketika Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow SSPN-i Plus Tahunan 2020 pada Ahad.. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sonita (tengah) bergambar di hadapan kereta yang dimenanginya bersama dengan Ahmad Dasuki (kiri) dan Nik Hamdam (kanan) ketika Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow SSPN-i Plus Tahunan 2020 pada Ahad.. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Dengan menabung menerusi SSPN-i Plus, kita akan mendapat manfaat lain seperti pelepasan taksiran cukai dan juga perlindungan takaful sekiranya ada apa-apa yang berlaku kepada pendeposit,” katanya.

Tambah Sonita, tiada istilah terlambat bagi mana-mana ibu bapa yang baru hendak mula melakukan simpanan buat pendidikan anak-anak mereka.

“Umur anak saya yang paling besar 19 tahun dan ada yang baru lepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta seorang lagi berada tingkatan tiga.

“Saya baru menyertai SSPN-i Plus pada tahun 2018. Walaupun anak saya sudah meningkat usia, masih belum terlambat saya menyimpan di SSPN-i Plus kerana saya boleh menambah simpanan itu bila-bila masa,” katanya.

Dividen tahunan yang kompetitif

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN sangat menggalakkan ibu bapa untuk merebut peluang dan manfaat yang ditawarkan melalui skim simpanan SSPN seperti SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Beliau berkata, selain patuh syariah, skim simpanan SSPN juga adalah dijamin kerajaan di samping turut menawarkan dividen tahunan yang kompetitif kepada pendepositnya.

“Pada tahun lepas (2020), kami telah mengumumkan dividen sebanyak empat peratus. Jadi untuk lima tahun kebelakangan ini kita telah konsisten menawarkan kadar dividen yang kami percaya merupakan yang tertinggi berbanding produk-produk simpanan yang berada di pasaran,” katanya.

Jelas beliau, dengan wujudnya skim simpanan seperti SSPN-i Plus yang hanya memerlukan pendeposit membuat deposit bulanan serendah RM30, ia membuktikan SSPN adalah terbuka kepada segenap lapisan rakyat Malaysia dan tidak terhad hanya kepada mereka yang mempunyai simpanan yang besar.

“SSPN-i Plus juga membuka peluang kepada individu yang belum berkahwin untuk ikut serta menyimpan dan menikmati manfaat yang disediakan dalam skim berkenaan,” katanya. Sasar 1.8 bilion

Sonita bergambar bersama kereta yang dimenangi beliau, turut serta Nik Hamdam (kiri) dan Ahmad Dasuki. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sonita bergambar bersama kereta yang dimenangi beliau, turut serta Nik Hamdam (kiri) dan Ahmad Dasuki. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurut Ahmad Dasuki berkata, PTPTN menyasarkan sebanyak RM1.8 bilion kutipan deposit bagi tahun ini dengan pertambahan sebanyak 400,000 akaun baharu.

“Sasaran tersebut dilakukan dengan mengambil kira kejayaan SSPN pada tahun lepas yang berjaya merekodkan kutipan deposit tertinggi sejak 2004 iaitu RM1.99 bilion dengan dan 436,101 pendeposit baharu. Dalam keadaan pandemik, orang ramai mempunyai kesedaran menyimpan wang kerana keperluan untuk mempunyai simpanan ini adalah sangat mendesak.

“Disebabkan itu PTPTN berkeyakinan untuk meningkatkan lagi sasaran. Kalau tahun lepas kita sasar RM1.5 bilion, tahun ini kita sasar RM1.8 bilion kerana kami yakin dengan kesedaran yang semakin meningkat itu.

“Yang penting bagi PTPTN adalah kesedaran untuk tabiat menabung. Kita mahu rakyat Malaysia menabung walaupun sekurang-kurangnya RM1 sehari,” ujarnya.

Ahmad Dasuki berkata, sehingga Februari tahun ini, 4.86 juta akaun baharu SSPN dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM8.28 bilion.