Digital Mersing bawa komuniti ke arah pendigitalan

Abdul Latiff melihat produk usahawan tempatan yang dijual di DesaMall PKD Air Merah, Mersing pada Sabtu.
Abdul Latiff melihat produk usahawan tempatan yang dijual di DesaMall PKD Air Merah, Mersing pada Sabtu.
A
A
A

MERSING - Inisiatif Digital Mersing yang bermula sejak Mac lalu adalah hasil daripada aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membawa komuniti setempat ke arah pendigitalan.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ia selaras dengan perkembangan Malaysia sebagai negara maju dalam aspek ekonomi dan teknologi menjelang tahun 2030.

Bagi fasa pertama pelaksanaan Digital Mersing, empat inisiatif berkaitan digital telah dilancarkan iaitu pengaktifan transaksi tanpa tunai, sumbangan dekoder MyTV, DesaMall dan bantuan perniagaan Nano.

“Setakat ini terdapat 80 usahawan Mersing mendaftar dengan Digital Mersing bagi pengaktifan inisiatif transaksi tanpa tunai dan kita sasar untuk mengaktifkan seramai 100 usahawan sebelum Jun ini.

“Program DesaMall@KPLB pula adalah inisiatif KPLB dalam membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang.

“Ini adalah salah satu strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar membangun produk dan memperluas pasaran termasuk pemasaran perniagaan dalam talian (E-Commerce),” katanya.

Abdul Latiff (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penghulu-penghulu di Parlimen Mersing.
Abdul Latiff (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penghulu-penghulu di Parlimen Mersing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Digital Mersing di DesaMall Pusat Komuniti Desa (PKD) Air Merah, di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kata Abdul Latiff, kementerian memperluaskan Program DesaMall@KPLB di Pusat Komuniti Desa (PKD) Air Merah, di sini dengan pewujudan stor konsep yang dinamakan Galeri DesaMall@Mersing.

Galeri itu katanya, mempamerkan produk-produk usahawan luar bandar secara fizikal, di mana pengunjung boleh melihat, menyentuh dan seterusnya membeli produk-produk yang turut dipasarkan di platform maya.

“Selain itu, pewujudan galeri ini juga adalah untuk meningkatkan ‘visibility’ Program DesaMall@KPLB serta menggalakkan penyertaan usahawan luar bandar, khususnya kepada warga Mersing dan kawasan sekitarnya untuk menyertai Program DesaMall@KPLB.