Jangan membazir pada bulan Ramadan

Makanan dibazirkan pada bulan Ramadan cukup tinggi hasil kajian SWCorp sebelum ini. - Foto 123RF
Makanan dibazirkan pada bulan Ramadan cukup tinggi hasil kajian SWCorp sebelum ini. - Foto 123RF
A
A
A

ALHAMDULILLAH, esok semua umat Islam akan mula berpuasa. Bulan penuh keberkatan ini sentiasa dinantikan bagi mereka yang bersemangat mengejar pahala.

Rata-rata antara kita bersyukur kerana Ramadan kali ini dapat disambut dalam suasana lebih baik berbanding tahun lalu di mana kebanyakan rutin sepanjang bulan mulia itu tidak dibenarkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19.

Sebenarnya di sebalik musibah Covid-19 ini sudah tentu ada rahmat di sebaliknya selain sebagai satu peringatan kepada umat manusia.

Pada Ramadan kali ini, kita perlu bermuhasabah dengan menjadikan musibah Covid-19 sebagai pengajaran untuk merebut peluang sepenuhnya mengejar keberkatan bulan mulia ini.

Impak Covid-19 bukan sahaja menyerang kesihatan, malah melumpuhkan ekonomi banyak negara tidak terkecuali negara kita.

Marilah kita perbetulkan ‘kesilapan᾿ yang sering dilakukan dalam bulan Ramadan antaranya isu pembaziran makanan.

Walaupun ramai dalam kalangan kita sudah kembali bangkit setelah kerajaan membuka kembali aktiviti ekonomi, namun kita jangan lupa bahawa masih ramai yang terkesan.

Hayati Ramadan sebagai bulan sedekah dan elakkan amalan membazir di bulan mulia ini.

Artikel Berkaitan:

Makanan dibazirkan pada bulan Ramadan cukup tinggi hasil kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebelum ini.

Hasil kajian itu menunjukkan makanan yang dibuang setiap kali tibanya bulan Ramadan meningkat 15 hingga 20 peratus.

Secara keseluruhan sebanyak 15,000 metrik tan makanan dibuang di negara ini dalam sehari dengan 3,000 metrik tan daripadanya adalah makanan yang masih boleh dimakan.

Bayangkan betapa besar pembaziran berlaku dan berapa ramai pula golongan kelaparan mampu kenyang sekiranya makanan itu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Semua orang sedar tentang berlakunya pembaziran dalam bulan Ramadan ini, namun kerana nafsu selera yang membuak sebelum berbuka, ‘dosa᾿itu terus diketepikan.

Isu pembaziran dalam konteks berbuka puasa juga sering menimbulkan perdebatan terbuka dalam kalangan masyarakat dengan hujah dan pandangan tersendiri.

Bagi setengah pandangan, berbelanja besar untuk berbuka di hotel satu pembaziran, namun bagi ‘orang ada-ada᾿ mereka ada hujah sendiri.

Bagi mereka harga untuk bufet Ramadan antara RM50 hingga RM100 sekepala cukup kecil jika dibandingkan dengan kemampuan dimiliki.

Dengan kemampuan itu, ramai yang ‘berjariah᾿belanja rakan-rakan, pekerja, golongan fakir miskin, anak yatim berbuka di hotel pada bulan Ramadan.

Pada pandangan penulis, tidak salah dan tiada siapa pun melarang untuk umat Islam berbelanja besar berbuka di hotel atau restoran ternama.

Lagipun berbuka di hotel atau restoran ternama sudah menjadi trend bagi sesetengah umat Islam di negara ini biarpun terpaksa berbelanja besar untuk menikmati hidangan disajikan.

Cumanya berbalik kepada pengajaran daripada musibah Covid-19, alangkah baik jika mengambil langkah berjimat atau manfaatkan wang untuk tujuan itu untuk perkara lain seperti membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Jangan lihat isu berbuka di hotel semata-mata kerana bagi golongan biasa-biasa yang hanya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan, ramai juga yang terikut-ikut dengan hawa nafsu yang sudahnya berakhir dengan pembaziran.

Dalam Islam sendiri mengajar umatnya bersederhana dalam banyak sudut.

Dalam makan pun Rasulullah mengajar umatnya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang yang jelas membawa maksud bersederhana dalam mengambil makanan kerana ia juga ada faedah dalam konteks kesihatan.

Alangkah baiknya sepanjang bulan Ramadan kita sama-sama berbahagi rezeki bantu mereka yang kurang bernasib baik.

Hayati Ramadan sebagai bulan bersedekah, elakkan pembaziran, lebihkan ibadat dan sentiasa bersyukur atas nikmat kurniaan ALLAH.

*Nik Amirul Mu'Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang