Membina integriti ibadat puasa

No Image Caption
A
A
A

PADA umumnya apabila datangnya bulan Ramadan, umat Islam sering mengalami bisikan hati dan jiwanya tersendiri tentang suasana hidup dari malam pertama Ramadan yang biasanya bertukar secara perlahan-lahan dibandingkan dengan malam-malam biasa di luar bulan Ramadan.

Dalam bulan ini banyak sekali ingatan kita kembali kepada keluarga terutama ibu bapa yang telah pergi

Pertama kali mendirikan solat tarawih pada malam pertama bulan ibadat ini, ramai terharu tanpa mengetahui sebabnya.

Secara tiba-tiba juga perubahan rutin hidup menjelang malam awal Ramadan sering mengejutkan.

Bangun sebelum waktu subuh untuk bersahur dilakukan secara spontan kerana itulah perubahan pertama yang seharusnya dilaksanakan.

Demikianlah bagi umat Islam. Bulan Ramadan datang dan pergi setiap tahun yang merupakan perkara biasa dalam hidupnya.

Namun terdapat satu peringatan Rasulullah SAW yang agak mengejutkan “Bahawa terdapat ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat suatu apa pun daripada ibadat puasanya, selain lapar dan dahaga.”

Peringatan ini tentulah menimbulkan pertanyaan “Kenapakah ibadat yang mendapat pahala dan balasan baik daripada ALLAH SWT itu tiba-tiba menjadi sia-sia?”

Artikel Berkaitan:

Kelebihan ibadat puasa dan bulan Ramadan itu sendiri sering kita dengar daripada pendakwah dan ulama kita, antaranya tentang kelebihan puasa dan ibadat solat wajib dan sunat yang amatlah besar pahalanya.

Demikian juga tentang ganjaran membaca al-Quran dalam bulan puasa ini serta segala zikir dan amalan ibadat lain.

Jawapan dan penjelasan bagi hadis Rasulullah SAW ini agar sukar untuk ditafsirkan. Kita perlu mendapatkannya dari para sarjana dan ulama besar kita sendiri untuk penjelasan lebih lanjut.

Dalam konteks ibadat puasa yang seharusnya dihayati hikmahnya dari sudut beramanah, benar dan melakukan segala perbuatan luaran dengan sifat ihsan yang dapat kita rasai bahawa ALLAH sentiasa melihat kita itu, mungkin sekali sering kita lupakan ketika menghadapi hasutan syaitan dan iblis terutamanya digoda oleh nafsu keduniaan dalam bentuk nafsu yang mementingkan kebendaan dan harta dunia yang tidak diharuskan syarak.

Pengurusan masa

Kita juga mungkin melupakan pengurusan masa dalam pekerjaan kita dan janji kita dengan ALLAH sendiri pada bulan Ramadan walaupun kita berada di dalam bilik secara berseorangan, maka kita sentiasa menjaga amanah ALLAH tentang ibadat puasa supaya tidak makan dan minum walaupun tidak dilihat oleh manusia.

Inilah sifat ikhlas dan jujur serta amanah kepada ALLAH SWT. Puasa juga menentukan jenis makanan yang seharusnya dimakan dan kadarnya yang tentunya tidak mengikut nafsu dan selera yang keterlaluan.

Negara kita yang terkenal dengan bilangan rakyatnya yang mengalami kegemukan melampau seharusnya dilatih supaya mengurangkan makanan dan minuman yang menambahkan kegemukan.

Demikian juga jenis makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit berbahaya, daripada sakit jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi.

Sikap dan cara berfikir rakyat kita tentang bazar Ramadan, moreh di surau dan masjid, kemewahan makanan di rumah sendiri juga haruslah berubah mengikut keadaan ekonomi dan kesihatan serta wahyu ALLAH.

Umat Islam diingatkan supaya tidak membazir dan melupakan pengurusan wang kerana tuntutan nafsu makan minum. Biarlah hal ini menjadi perubahan baharu dalam hidup kita yang dirangsangkan oleh Covid-19.

Pengajaran dan hikmah yang terkandung dalam ibadat puasa bukan sekadar diamalkan dalam bulan Ramadan, kemudian dilupakan setelah berlalunya bulan Ramadan.

Keghairahan makan minum menurut nafsu janganlah dilepaskan sebegitu rupa dalam bulan puasa ini.

Mungkin kerana pembawakan inilah maka baginda Rasulullah SAW memberi amaran bahawa ramai umat berpuasa merasai lapar dan dahaga sahaja, tanpa mendapat hikmah dan iktibar yang lain.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia