Justifikasi mengapa kita perlukan pemimpin sihat

Laporan Sinar Harian pada Ahad
Laporan Sinar Harian pada Ahad
A
A
A

INSIDEN Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Huffaz Kali Ke-5 Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah di Seremban pada Sabtu menjadi topik perbualan ramai mengenai tahap kesihatan wakil rakyat terutama yang memegang jawatan kabinet.

Seperti dilaporkan, Pegawai Tugas-tugas khas Eddin Syazlee, Farahiah Zubir berkata bahawa Ahli Parlimen Kuala Pilah berusia 47 tahun itu kurang sihat dan keletihan ketika menghadiri program berkenaan.

Pada tahun 2019 pula, Eddin Syazlee pernah rebah di Parlimen, menyebabkan sesi persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan seketika.

Melihat kepada keadaan tersebut, (bukan Eddin Syazlee seorang sahaja) wakil rakyat dan juga menteri kabinet perlulah terdiri daripada mereka yang cergas dan mampu untuk memberi khidmat kepada rakyat setiap masa.

Ini kerana Malaysia perlukan pemimpin yang benar-benar dapat berkhidmat kepada rakyat setiap masa, turun padang ketika bencana dan sentiasa memikir kepentingan awam.

Sekiranya seseorang pemimpin itu tidak lagi ‘fit᾿ maka bagaimana tenaga dapat dicurahkan kepada orang lain sedangkan diri sendiri lebih memerlukan perhatian.

Dalam usaha untuk memilih pemimpin yang cergas dan aktif, saranan yang dikemukakan Exco Perak, Khairul Shahril Mohamed sebelum ini agar mereka yang berusia 70 tahun ke atas tidak bertanding dalam PRU15 ada benarnya.

Ini kerana sudah sampai masanya pemimpin yang muda, aktif dan pantas dipilih untuk berkhidmat selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Lagipun Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pernah berkata Parlimen tidak boleh bersidang masa ini ‘mengambil kira faktor keselamatan ahli Parlimen yang berusia᾿.

Maka, dengan adanya wakil rakyat yang cergas, sihat dan muda, tiada lagi alasan Parlimen tidak dapat bersidang pada waktu pandemik dan tiada lagi alasan rakyat terabai kerana pemimpin tidak dapat berkhidmat disebabkan faktor kesihatan.