15 ekor kambing dipercayai dibaham harimau

Antara bangkai kambing berkenaan.
Antara bangkai kambing berkenaan.
A
A
A

JELEBU - Sebanyak bangkai 15 kambing biri-biri ditemui bergelimpangan di dalam kandang dipercayai dibaham harimau di Kampung Geylang, Pertang, di sini, semalam.

Bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Geylang, Azmi Abd Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku malam semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung yang memelihara haiwan berkenaan.

"Penduduk menyedari kambing mereka mati semasa mahu memberi haiwan itu makan kira-kira jam 8 pagi.

"Kita percaya kambing itu mati akibat dibaham harimau berdasarkan keadaan bangkai tersebut yang disiat kulitnya sehingga menampakkan tulang rusuk selain isi perutnya terburai," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kejadian haiwan peliharaan diserang harimau ini merupakan kali ke dua selepas kejadian pertama berlaku dua bulan lalu.

Katanya, sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang perangkap di hadapan kawasan kandang kambing berkenaan, namun tiada tangkapan berjaya dilakukan.

"Walau pun sekarang ini tidak melibatkan mangsa manusia, tetapi kita risau keadaan akan menjadi bertambah buruk.

"Kita berharap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian tersebut.

Sebaliknya, beliau memaklumkan masih tidak mendapat maklumat mengenai kejadian berkenaan.