Nyamuk baik, nyamuk jahat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DEMAM denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk.

Terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja.

Jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh dijangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

Menurut sumber daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah pesakit denggi pada tahun ini sehingga 7 April 2021 adalah sebanyak 7,644 kes manakala jumlah kematian adalah empat orang.

Orang yang sihat boleh mendapat demam denggi melalui gigitan nyamuk aedes yang mengandungi virus denggi.

Penyakit ini berbahaya kerana tiada ubat untuk merawatnya dan ia boleh membawa maut.

Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada belakang mata, otot-otot dan sendi-sendi.

Artikel Berkaitan:

Ruam merah pada kulit juga boleh terjadi. Demam ini boleh mencapai suhu 41 darjah Celsius dan selalunya akan berlarutan dua hingga tujuh hari.

Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.

Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai breakbone fever.

Pesakit demam denggi berdarah menjadi teruk disebabkan oleh radang di salur darah. Tiada ubat khusus untuk merawat demam denggi.

Pesakit perlu dimasukkan ke wad bagi rawatan demam denggi berdarah.

Rawatan awal boleh mengelakkan kematian dengan kadar kurang daripada satu peratus.

Pesakit akan diberikan rehidrasi untuk memastikan beliau tidak mengalami renjatan.

Walaupun nama penyakit ini demam denggi berdarah, masalah yang membawa kemudaratan adalah masalah kebocoran salur darah yang menyebabkan renjatan dan bukan pendarahan yang menjadi masalah utama.

Cara paling berkesan untuk mencegah denggi adalah dengan menghapuskan pembiakan nyamuk aedes.

Kaedah inovatif terbaharu adalah dengan menggunakan nyamuk aedes berwolbachia (bakteria wolbachia disuntik ke dalam telur nyamuk aedes aegypti).

Wolbachia adalah bakteria yang wujud secara semula jadi yang boleh didapati 60 hingga 70 peratus pada spesies serangga.

Wolbachia ini melemahkan virus denggi dalam badan nyamuk dan merencatkan penyebaran denggi kepada manusia.

Wolbachia dapat dipindahkan melalui penghasilan telur daripada nyamuk betina yang bersenyawa dengan nyamuk berwolbachia.

Hasil penyelidikan yang telah diterbitkan dalam jurnal Current Biology pada 21 November 2019 menunjukkan bahawa nyamuk berwolbachia (strain wAlbB) apabila dilepaskan ke alam sekitar berkesan mengurangkan hampir 40 peratus kes demam denggi.

Selain denggi, wolbachia (strain wAlbB) juga berkesan dalam menyekat penularan virus zika dan chikungunya yang disebarkan melalui nyamuk.

Nyamuk aedes berwolbachia ini merupakan nyamuk baik yang dapat membantu mengurangkan nyamuk jahat.

Kaedah ini juga menyebabkan tiada keperluan lagi untuk menggunakan racun serangga mahupun semburan kabus sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi.

Orang yang sihat boleh mendapat demam denggi melalui gigitan nyamuk aedes yang mengandungi virus denggi.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia