‘Hanya SPP ada kuasa’

Abdul Rahim, Khalid, Musa
Abdul Rahim, Khalid, Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai sembilan orang ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sahaja yang layak membuat keputusan untuk meluluskan pertukaran pegawai kanan polis.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berkata, sembilan ahli suruhanjaya tersebut dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Pertukaran pegawai kanan polis ini adalah mengikut budi bicara dan kuasa SPP.

“Jadi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan sahaja.

“Yang memutuskan hanyalah SPP yang dipengerusikan oleh Hamzah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak lain termasuk ahli politik tidak boleh sama sekali campur tangan dalam urusan pertukaran pegawai kanan berkenaan.

“Kalau kita buat operasi nak tangkap sana sini ada juga mereka telefon.

“Mengenai pertukaran ini, ia hanyalah keputusan SPP dan ia diwujudkan di bawah Perlembagaan Malaysia,” kata Musa.

Artikel Berkaitan:

Keratan Sinar Ahad.
Keratan Sinar Ahad.

Bagaimanapun, Musa berkata, KPN mempunyai kuasa untuk melakukan pertukaran ataupun kenaikan pangkat melibatkan anggota yang berpangkat rendah sahaja.

Sementara itu, dua bekas KPN enggan mengulas lanjut berhubung campur tangan menteri dalam pertukaran pegawai-pegawai kanan polis.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak mahu masuk campur dengan perkara berkenaan memandangkan tempoh perkhidmatannya sudah lama berakhir.

“Saya tak mahu campur. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Masa saya dah habis. Jadi, saya tak mahu komen apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor memaklumkan beliau tidak mengetahui isu tersebut sebagaimana yang didedahkan oleh KPN sekarang, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Saya tidak tahu-menahu perkara ini, bagaimana saya nak ulas,” katanya.

Pada Selasa, Abdul Hamid mengesahkan terdapat arahan penangguhan pertukaran pegawai-pegawai kanan seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Tegasnya, arahan tersebut dikeluarkan oleh Hamzah pada saat-saat akhir membabitkan pertukaran jawatan ketua polis.