Program Fat2Fit Pesat berjaya capai sasaran

Muhamad Fasri (tengah) ketika melancarkan Program Pelancaran Tabung Prihatin Pesat yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, pada Ahad.
Muhamad Fasri (tengah) ketika melancarkan Program Pelancaran Tabung Prihatin Pesat yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Fat2Fit anjuran Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

Presidennya, Mohd Sham Aziz Ismail berkata, kejayaan tersebut hasil daripada pemantauan harian terhadap 50 peserta dalam tempoh 49 hari menerusi khidmat nasihat dalam pelbagai aspek.

“Kita buat kumpulan WhatsApp antara peserta-peserta ini dan daripada aplikasi tersebut, kita melihat perkembangan para peserta secara harian.

“Pada masa sama, khidmat nasihat melalui kaedah-kaedah dari cara pemakanan, cara latihan untuk pastikan dari segi peredaran darah dan cara melakukan senaman yang betul.

“Jadi daripada khidmat nasihat ini sehingga ke tarikh penutup semalam, kita berjaya. Daripada beberapa peserta, kiranya dah berjaya membentuk badan dan menurunkan berat badan yang ideal,” katanya ketika majlis Penutupan Program Fat2Fit Pesat di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini pada Ahad.

Turut berlangsung program pelancaran Tabung Prihatin Pesat yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Penasihat Pesat, Datuk Muhamad Fasri Samsudin.

Mohd Sham (depan, dua kiri) bersama dengan ahli jawatankuasa Pesat dalam program Pelancaran Tabung Prihatin Pesat yang berlangsung di bangunan Kumpulan Karangkraf, pada Ahad.
Mohd Sham (depan, dua kiri) bersama dengan ahli jawatankuasa Pesat dalam program Pelancaran Tabung Prihatin Pesat yang berlangsung di bangunan Kumpulan Karangkraf, pada Ahad.

Pada 22 Febuari tahun ini, program itu dilancarkan sempena saranan gaya hidup yang sihat untuk diterapkan kepada ahli-ahli Pesat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Sham Aziz berkata, Pesat mengambil inisiatif mengadakan program Infaq Asnaf & Frontliner sempena bulan Ramadan.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha persatuan bagi membantu golongan anak-anak yatim, asnaf dan juga frontliners.

“Selalunya kita menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka melalui dana-dana yang ada dan kita akan mohon sumbangan daripada ahli-ahli Pesat sendiri.

“Program ini akan kita teruskan sepanjang bulan Ramadan ini dan dari segi asnaf, rumah anak yatim serta fronliners itu telah kita kenal pasti dan kita cuma tunggu masa.

“Mungkin minggu pertama Ramadan kita sasar tiga ke empat rumah anak yatim atau fronliners,” ujarnya.