E-Kitchen bantu peniaga berniaga di bulan Ramadan: MB Selangor

Amirudin (kanan) menyempurnakan PLATS 2.0 E-Kitchen dan E-Pembekalan peruncit mikro dan kecil di Bandar Baru Selayang pada Ahad.
Amirudin (kanan) menyempurnakan PLATS 2.0 E-Kitchen dan E-Pembekalan peruncit mikro dan kecil di Bandar Baru Selayang pada Ahad.
A
A
A

SELAYANG - Kerajaan negeri menyediakan kemudahan untuk peniaga memasarkan jualan makanan mereka di bulan Ramadan secara dalam talian menerusi platform Selangor E-Kitchen 2.0.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini seramai 300 peniaga membuat pendaftaran di aplikasi tersebut dan jumlah itu dijangka terus meningkat dari masa ke masa.

Menurutnya, E-Kitchen memasuki tahun kedua yang mana pada tahun lalu seramai 166 peserta telah menggunakan kemudahan tersebut dan mencapai jumlah jualan mencecah RM1. 5 juta semasa Ramadan.

"Namun, pada tahun ini kita tidak terlalu menumpukan kepada sasaran jualan disebabkan banyak persaingan termasuk daripada restoran dan pembukaan bazar Ramadan secara fizikal.

"Ini menyebabkan berlaku persaingan secara dalam talian dan fizikal. Jadi, saya tak nak terlalu utamakan sasaran jualan sebaliknya mahukan ada perubahan ke arah menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat digital (digital society)," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Platform Selangor (PLATS) 2.0 Selangor E-Kitchen dan E-Pembekalan peruncit mikro dan kecil di tempat letak kereta Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Bandar Baru Selayang pada Ahad.

PLATS 2.0 akan melibatkan kolaboratif Grab Express bagi penyediaan perkhidmatan penghantaran yang boleh digunakan oleh penjaja dan peniaga.

Program PLAT 2.0 diwujudkan bagi melengkap ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor selain menjadikannya sebagai direktori utama bagi semua peniaga, penjaja serta pengusaha kecil sederhana (PKS) di Selangor berada di bawah satu platform.

Amirudin berharap, proses digitalisasi di Selangor menjadi kenyataan dengan seluruh rakyat Selangor terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menggunakan aplikasi dan platform digital dalam urus tadbir serta kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

"Covid-19 memaksa kita menjadi lebih kreatif mencipta ruang dan peluang. Ia juga mempercepatkan proses digitalisasi dan menyokong usaha kerajaan negeri ke arah itu.

"Walaupun E-Kitchen dibuat dalam tempoh singkat (pada tahun lepas) tetapi kita 'try and error' dan ia membuahkan hasil. Ia membantu penjaja yang tidak dapat berniaga di bazar menjana pendapatan. Jadi, saya harap tahun ini ia dapat menarik seramai mungkin penyertaan," katanya.