MAIK lantik pegawai penjarakan fizikal

Simbolik penyerahan resit zakat yang disampaikan oleh Tengku Muhammad Rizam (tengah) kepada Imam Besar negeri Kelantan, Hana Pizi Abdullah (kanan) dan disaksikan Zulkifle (kiri).
Simbolik penyerahan resit zakat yang disampaikan oleh Tengku Muhammad Rizam (tengah) kepada Imam Besar negeri Kelantan, Hana Pizi Abdullah (kanan) dan disaksikan Zulkifle (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjadi institusi pertama mengambil inisiatif melantik Pegawai Penjarakan Fizikal sebagai duta di Pejabat MAIK bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di tempat kerja.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, lantikan yang terdiri dalam kalangan kakitangan MAIK itu turut ditempatkan di setiap masjid di Kelantan.

“Seramai 10 kakitangan MAIK dilantik sebagai Pegawai Penjarakan Fizikal pada setiap hari dan bergilir-gilir bertugas di pejabat.

“Pada pelaksanaan fasa pertama ini, setiap seorang Pegawai Penjarakan Fizikal itu juga akan bertugas di setiap 17 masjid bandar yang terpilih,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Yang Dipertua MAIK Kepada Imam-imam Seluruh Negeri Kelantan Tahun 2021 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan di Kompleks Darul Naim di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Tengku Muhammad Rizam berkata, langkah diambil bagi menjamin keselamatan pekerja dan menyokong usaha serius kerajaan dalam melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

“Lantikan Pegawai Penjarakan Fizikal bertepatan dengan situasi jangkitan Covid-19 yang kebanyakan merebak dalam kalangan komuniti di tempat kerja.

“Mereka juga sebagai duta yang mewakili MAIK untuk menyampaikan bantuan kepada golongan terkesan menerusi Program Prihatin MAIK Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MAIK terus menjaga kebajikan petugas dan kakitangan masjid di seluruh Kelantan dengan melaksanakan caruman menerusi Program Tabungan Khairat Kematian dan Keilatan berjumlah RM120 sebulan.

“Usaha bagi memastikan kakitangan masjid dalam melaksanakan tugas dengan baik, terjamin dan dilindungi takaful sepanjang masa.

“MAIK juga dalam fasa akhir untuk memuktamadkan kenaikan elaun kakitangan masjid yang akan dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya.