Di mana Duterte?

Pembantu rapat Duterte berkongsi gambar beliau untuk menjawab desas-desus tentang keadaan kesihatan pemimpin itu yang didakwa merosot. - Foto Agensi
Pembantu rapat Duterte berkongsi gambar beliau untuk menjawab desas-desus tentang keadaan kesihatan pemimpin itu yang didakwa merosot. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Pelbagai spekulasi tentang keadaan kesihatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kembali timbul selepas beliau dikatakan ‘hilang’ sejak dua minggu lalu malah terdapat khabar angin yang mendakwa pemimpin lantang bersuara itu sudah meninggal dunia.

Pembantu rapat beliau bagaimanapun menafikan khabar angin tentang kematiannya yang didakwa berpunca daripada serangan strok ringan dan kemudiannya dirawat di Singapura.

Dakwaan itu diperkuatkan lagi dengan laporan yang mendakwa anak perempuannya, Datuk Bandar Davao, Sara Duterte-Carpio turut terbang ke negara bandar terbabit pada minggu lalu.

Senator Christopher Go yang merupakan individu paling dipercayai Duterte bagaimanapun cuba menepis khabar angin itu dengan memuat naik rakaman pendek memaparkan beliau bersama pemimpin itu yang berada dalam keadaan sihat dan sedang menjalankan tugasnya seperti biasa di Manila.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kami masih bersama dan Duterte bekerja seperti biasa,” ujar Go.

Gambar memaparkan Duterte, 76, duduk di atas motosikal dan berjalan yang diambil pembantu rapatnya itu turut dikongsi di media sosial pada Sabtu.

Sementara itu, jurucakapnya, Harry Roque memberitahu, beliau dijadualkan berucap pada Isnin.

Ketika ini, beberapa pihak berpendapat gambar sebagai bukti yang dipaparkan pembantu rapat beliau masih belum dapat meredakan desas-desus mengenai keadaan kesihatannya yang dipercayai merosot.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir pemimpin tersebut dilihat di khalayak umum adalah pada 29 Mac lalu ketika beliau menerima penghantaran vaksin Covid-19 yang dihasilkan Sinovac di China. - Agensi

Info:

- Duterte pernah ‘hilang’ beberapa kali antara tahun 2017 dan 2020 hingga mencetuskan pelbagai spekulasi tentang keadaan kesihatannya.

- Pada Oktober 2019, beliau berehat selama beberapa minggu selepas jatuh daripada motosikal.