UMNO 3.0: Jangan ikut politik lawan

Asyraf Wajdi (kiri) diiringi Rizam melawat galeri gambar kepimpinan UMNO Bahagian Sabak Bernam pada Majlis Perjumpaan AJK Empat Peringkat UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Sabak Bernam pada Ahad.
Asyraf Wajdi (kiri) diiringi Rizam melawat galeri gambar kepimpinan UMNO Bahagian Sabak Bernam pada Majlis Perjumpaan AJK Empat Peringkat UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Sabak Bernam pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Ahli UMNO semua peringkat diingatkan tidak mengikut rentak atau mainan parti lawan termasuk mempercayai kewujudan gerakan ke arah penubuhan UMNO 3.0.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan kononnya wujud gerakan UMNO 3.0 itu sengaja dibuat bagi melemahkan parti itu.

"Jangan kita menari mengikut alunan lagu dan irama yang (bertujuan) hanya untuk memecahkan muafakat dan persepakatan di dalam UMNO," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Ahli Jawatankuasa (AJK) Empat Peringkat UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Sabak Bernam di sini pada Ahad.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO sebagai sebuah parti sentiasa bergantung kepada permuafakatan dan kesepaduan ahli di semua peringkat.

"Kita menjadi mangsa cemburu pihak tertentu untuk melihat keruntuhan UMNO semata-mata," katanya.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Rizam Ismail.

Mengulas mengenai perjumpaan beliau bersama AJK Empat Peringkat UMNO Bahagian Sabak Bernam, Asyraf Wajdi berkata, ia sempena Program Jelajah Aspirasi Pemuda UMNO di seluruh negara.

Katanya, siri jelajah itu diadakan bagi melihat kesiapsiagaan jentera Pemuda UMNO untuk berdepan kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting saya mahu lihat keadaan persediaan di peringkat bawah dengan menggerakkan pertemuan empat peringkat, melaksanakan program ziarah dan program santai anak muda untuk mendekatkan golongan ini dengan UMNO," katanya.