X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Sabah, Sarawak diperluaskan: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaacob
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lapan kawasan di Tawau, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula Isnin hingga 25 April ini untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terlibat ialah Taman Sri Bukit Tawau; Taman Cahaya; Jalan Tengku Osman; Kuarters Bomba Tawau; Bandar Sri Indah; Jalan Mesra; Kampung Titingan dan Taman Golden Hill.

Menurutnya sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 76 kes positif Covid-19 dan 220 orang kontak rapat telah dikesan dalam lapan lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Ahad.

Katanya, PKPD juga turut dilaksanakan di Sungai Passin, Daerah Matu, Bahagian Mukah, di Sarawak selepas kes dilaporkan meningkat secara mendadak.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, seramai 208 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam dengan 199 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.

Menurutnya aktiviti pusat hiburan merekodkan jumlah tertinggi melibatkan seramai 112 individu, gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri (27), tidak memakai pelitup muka (16) dan lain-lain (53).

Selain itu beliau berkata, seramai sembilan pendatang tanpa izin (PATI) ditahan, tujuh lagi diusir melalui tiga aktiviti pengusiran dan tiga kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng, semalam.

Menurutnya Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia dan agensi keselamatan lain turut menjalankan 256 sekatan jalan raya semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semalam turut menyaksikan seramai 807 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 170,888 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 79 hotel dan lapan Institut Latihan Awam serta Institut Pengajian Swasta seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,868 individu telah dikuarantin dan 161,681 orang dibenarkan pulang manakala 1,339 lagi dibawa ke hospital,” katanya. -- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!