Polis lepaskan dua das tembakan selepas anggotanya cuba dirempuh

Kenderaan ditemui diparkir di tepi jalan selepas dipercayai dicuri penjenayah dari Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu.
Kenderaan ditemui diparkir di tepi jalan selepas dipercayai dicuri penjenayah dari Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki dua lelaki yang cuba melanggar anggota polis dalam kejadian di Kampung Dambai, Papar pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, dua lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan melarikan diri selepas seorang anggota polis melepaskan tembakan itu.

Kejadian difahamkan berlaku apabila polis menerima maklumat berhubung satu kejadian kes curi kenderaan di Taman Bukit Sepanggar, di sini pada jam 5 pagi.

Anggota polis yang menerima maklumat bahawa kenderaan itu menuju ke Papar kemudiannya melakukan rondaan dan ketika tiba di Kampung Dambai, dua anggota polis itu berjaya mengesan kenderaan yang disyaki dicuri sedang berhenti.

Mereka kemudian meminta pemandu dan penumpang turun dari kenderaan namun suspek bertindak agresif dan cuba merempuh seorang anggota polis.

Dalam keadaan cemas dan cuba melindungi diri, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan di bahagian belakang Toyota Hilux berkenaan.

Bagaimanapun, kenderaan itu memecut laju ke Jalan Uku Bogok lalu anggota terbabit mengekori sebelum menemui semula kenderaan itu yang diparkir di tepi jalan.

Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek sudah tiada dipercayai melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang anggota polis turut cedera di bahagian jari dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan kedua-dua suspek terbabit," katanya.