Pas akan lawan jika UMNO masih bertegas

Husain menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak pada Ahad.
Husain menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Pas Terengganu mengambil keputusan meletakkan calon di semua kerusi negeri ini sekiranya UMNO Terengganu bertegas enggan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, parti itu seboleh-bolehnya cuba mengelak pertembungan namun terpaksa bertanding jika UMNO masih kekal pendirian menolak Pas.

"Kita cuba mengelak tetapi kita bersedia jika UMNO Terengganu masih bertegas dengan sikap mereka.

"Jika UMNO bersikap begitu jadi kita pun ambil sikap sama, 32 pun 32 lah," katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini yang tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU15.

UMNO Terengganu dilaporkan akan bergerak sendiri menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan menolak kerjasama dengan Pas kerana mendakwa parti itu tidak jujur dan melanggar syarat perjanjian persefahaman (MoU) ketika penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Menurut Husain, apa yang diucapkan Ahmad sebenarnya tidak melambangkan sikap dan pandangan UMNO secara keseluruhan kerana UMNO Perak sendiri mengatakan mereka mahu bekerjasama dengan Pas.

Sehubungan itu beliau berkata, Pas mengambil langkah ke arah perpaduan ummah dengan tiga-tiga parti Melayu mesti bergabung bagi memenuhi keperluan perubahan landskap politik negara sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Pas cuba menyelamatkan kuasa politik Melayu, bangsa dan agama bukan bersikap menyelamat individu atau parti dan Pas masih bersikap serta berpendirian begitu," katanya.

Ditanya sama ada Pas akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi membincangkan hubungan kedua-dua parti, Husain memaklumkan perkara itu bergantung kepada arahan atau keputusan dari kepimpinan pusat.

"Arahan ini sudah tentu bukan dibuat semata-mata mengukur suasana di Terengganu tetapi mengikut kepentingan dan keperluan keseluruhan parti termasuk UMNO di seluruh negara," katanya.

Sebagai rekod, Terengganu mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.

Dalam PRU14, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN.