Bekalan dijamin mencukupi bagi musim perayaan: JPV

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Bekalan daging, susu, ayam dan telur bagi keperluan orang ramai sepanjang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha nanti dijamin mencukupi.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor yang memberikan jaminan itu berkata, sejak awal tahun ini lagi banyak pengimport mendapatkan bekalan daging kerbau sejuk beku dari India di samping daging lembu dari Australia, New Zealand dan juga Pakistan.

Beliau berkata, pengimportan daging lembu dan kerbau dari luar negara adalah penting kerana Malaysia masih bergantung harap kepada sumber berkenaan bagi menjamin bekalan seterusnya memenuhi keperluan pengguna.

“Di samping itu, kita juga ada jawatankuasa yang memantau perkara ini dan Insya-ALLAH keperluan daging mencukupi, serta dapat memenuhi keperluan pengguna bukan sahaja untuk Ramadan dan Syawal, malah hingga dua bulan akan datang.

“Sebagai contoh, ada juga dalam kalangan penternak yang telah menyediakan stok bekalan lembu korban tiga hingga empat bulan lebih awal, jadi pengguna tidak perlu bimbang,” katanya kepada Bernama di sini.

Norlizan berkata, bagi jaminan bekalan daging, sebanyak 210,000 metrik tan lembu dan kerbau diperlukan negara setahun, namun negara hanya mampu menghasilkan 46,000 metrik tan iaitu kira-kira 22 peratus pada tahun lepas daripada sumber ternakan dalam negara.

Beliau berkata, JPV telah merangka pelbagai program dan usaha bagi meningkatkan pengeluaran daging negara, antaranya 'Beef Plan' sejak 2019, selain menjalin kerjasama erat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Terdapat empat aktiviti utama dijalankan bagi program ternakan iaitu, ternakan fidlot, penternakan integrasi seperti lembu baka tempatan Kedah-Kelantan Elit (KK Elit), ternakan konvensional iaitu ternakan secara kecil-kecilan dan bebas kampung dan sumbangan tenusu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pula, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan bekalan keperluan harian penduduk Melaka sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Melaka pada Sabtu mengenai perkara itu dan meminta mereka meningkatkan pemantauan di semua premis perniagaan sama ada di pasar dan bazar Ramadan, kedai runcit, pasar raya dan sebagainya supaya tidak berlaku kenaikan harga terlalu tinggi pada Ramadan ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Pasar Tani Pra Ramadan peringkat negeri 'Jom Mantai Puasa' 2021 bersama dengan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah Fama Melaka, Mohd Azraie Ramli di Pasar Tani Merlimau di sini pada Ahad.

Sulaiman berkata, Pasar Tani Pra Ramadan itu diadakan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai membuat persiapan awal menyambut Ramadan di tujuh lokasi sekitar negeri ini bermula 4 hingga 11 April. - Bernama