Warisan tidak mahu dukung 'biawak hidup': Mohd Ismail

Mohd Ismail Ayob
Mohd Ismail Ayob
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah diingatkan supaya memutuskan hubungan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) jika mahu berbuat demikian.

Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Ismail Ayob berkata, ketidakstabilan politik negara yang berlaku kini adalah berpunca daripada pengkhianatan pemimpin PKR sendiri sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh.

"Warisan berusaha mempertahankan kerajaan PH tetapi apa daya kita jika pemimpin-pemimpin PKR beramai-ramai melompat dan mengalihkan sokongan.

"Jika Raymond (Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Raymond Ahuar) mahu PKR Sabah memutuskan hubungan dengan Warisan, teruskan sahaja kerana Warisan juga tidak mahu mendukung 'biawak hidup' yang akhirnya merosakkan diri sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Ismail berkata demikian bagi membidas kenyataan Raymond berhubung kerjasama PH Sabah dengan Warisan pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua Warisan Bahagian Kinabatangan berkata, tuduhan Raymond bahawa Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah proksi Tun Mahathir Mohamad juga tidak berasas.

"Kerana kerjasama yang dijalin sebelum ini dengan bekas Perdana Menteri itu adalah demi menjatuhkan rejim terdahulu yang terpalit dengan rasuah," katanya.

Mohd Ismail menegaskan, Warisan tidak akan terperangkap dalam kepompong politik lapuk yang dikawal oleh segelintir pemimpin elit yang mahu terus berkuasa walaupun semakin hilang pengaruh dan penyokong.

Artikel Berkaitan:

"Warisan meletakkan pendirian bahawa politik negara perlu berpegang teguh kepada konsep 'Unity' serta yang menguntungkan Sabah dan Sarawak supaya pembangunan negara dapat dibina semula.

"Mohd Shafie menegaskan politik negara perlu matang 'beyond Anwar-Mahathir' dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi kepentingan rakyat.

"Beliau juga telah menyatakan bahawa kerjasama Warisan dalam PRU 15 ialah minus PH, malah selepas PRU 2018, Warisan tidak pernah menyertai PH sebaliknya cuma menjalin kerjasama demi kepentingan negara," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Ismail berkata, tidak timbul persoalan Warisan perlu membincangkan kerjasama dengan PH kerana pendirian parti sudah jelas dinyatakan oleh Presiden Warisan.