Tren DMU 'hadiah' untuk warga Pantai Timur: Ka Siong

Ka Siong (kiri) semasa merasmikan DMU di Stesen Kereta Api Pasir Mas.
Ka Siong (kiri) semasa merasmikan DMU di Stesen Kereta Api Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Penggunaan Tren Diesel Multiple Unit (DMU) bagi menggantikan lokomotif dan koc penumpang merupakan 'hadiah' baharu daripada kerajaan pusat untuk warga pantai timur.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, DMU dilengkapi pelbagai kemudahan lebih canggih dan mesra pengguna termasuk untuk orang kelainan upaya (OKU).

"Semua tempat duduk adalah sama, tiada beza antara VIP (orang kenamaan), orang biasa mahupun OKU.

"Ia dilengkapi tempat simpan beg, soket kuasa (tujuan pengecasan), bilik solat dan tandas lebih selesa serta mampu memenuhi keperluan pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan DMU di Stesen Kereta Api Pasir Mas, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd Nor dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, kehadiran DMU di sektor Pantai Timur ini dilihat mampu memperkasakan lagi pengangkutan di Kelantan dan Pahang, terutama bagi pengguna yang menjadikan tren sebagai pengangkutan utama dalam urusan harian.

Beliau berkata, situasi itu dapat dilihat di Dabong dan Kuala Geris apabila tren menjadi pengangkutan rasmi pelajar dari kawasan tersebut untuk ke sekolah.

Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, tren tersebut dilihat menyediakan satu persekitaran lebih kondusif untuk pelajar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia merupakan satu transformasi kerajaan untuk memberi manfaat kepada pelajar menerusi pas tanpa had hanya dengan bayaran RM5 sebulan atau dikenali sebagai MyRail5.

"Pas ini membolehkan pelajar menggunakan tren tanpa had untuk berulang alik ke sekolah atau ke mana-mana destinasi.

" MyRail5 turut diberikan kepada OKU dengan syarat mereka perlu mendaftar di mana-mana stesen tren atau secara dalam talian," kata beliau.