Tukang masak ditahan, tolak isteri dari tingkat 18 kondominium

Mayat mangsa ditemui oleh penduduk selepas terjatuh dari tingkat 18.
Mayat mangsa ditemui oleh penduduk selepas terjatuh dari tingkat 18.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang tukang masak ditahan polis selepas dipercayai menolak isterinya hingga jatuh dari tingkat 18 dalam kejadian di Bukit Awana Kondominium di Ayer Itam di sini pada tengah malam, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan kejadian seorang wanita terjun bangunan kira-kira jam 12.06 tengah malam sebelum sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, berdasarkan soal siasat terhadap lelaki tersebut, suspek mengaku menolak isterinya keluar tingkap di bahagian ruang tamu rumah dipercayai setelah bergaduh dengan mangsa.

"Siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan suspek curiga, isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Selepas pertengkaran berlaku suspek menolak mangsa sehingga jatuh dan mangsa ditemui mati akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu Soffian berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Katanya, polis turut merampas dua buah telefon bimbit, satu botol mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah dan satu plastik lut sinar mengandungi daun kering dipercayai ganja digunakan suspek.

"Mangsa berusia 35 tahun bekerja sebagai ejen insurans manakala suaminya berusia 34 tahun bekerja sebagai tukang masak. Kedua-duanya berasal dari Johor.

"Difahamkan mereka berkahwin lebih setahun lalu dan tidak mempunyai anak," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Soffian, suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.