Ekzos bising: Pemilik kenderaan degil berdepan tindakan

Ka Siong (empat dari kiri) memukul rebana ibu sebagai simbolik perasmian Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Kereta Api Pasir Mas.
Ka Siong (empat dari kiri) memukul rebana ibu sebagai simbolik perasmian Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Kereta Api Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Kerajaan tidak beragak-agak mengenakan tindakan undang-undang kepada pemilik kenderaan yang masih berdegil menggunakan ekzos bising walaupun sudah menjalani advokasi atau notis temu siasat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan tegas itu bagi memastikan mereka yang menjalani proses berkenaan tidak kembali mengulangi kesilapan tersebut.

"Setakat ini mereka yang melakukan kesalahan ekzos bising itu hanya dikenakan notis untuk temu siasat oleh JPJ sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Kereta Api Pasir Mas, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd Nor dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, selepas diberikan notis itu, pemilik kenderaan perlu hadir ke JPJ untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kerajaan mengambil serius perkara tersebut selepas menerima pelbagai aduan daripada orang ramai.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, kementeriannya sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah JPJ untuk membuat kajian terperinci mengenai kesan penggunaan ekzos bising itu terhadap masyarakat.

Sinar Harian 28 Mac lalu melaporkan, buat masa ini kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan notis untuk temu siasat.

Artikel Berkaitan:

Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat dan mereka yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.