Akta 118 akan dipinda, bantu pembeli projek rumah terbengkalai

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118) bagi membantu pembeli projek perumahan tertangguh, kata Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, pindaan akta itu sedang dalam perancangan dan bertujuan untuk mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai serta melihat kepada tindakan yang lebih tegas untuk dikenakan terhadap pemaju.

“Ketika ini undang-undang kita agak longgar dengan hanya menyenarai hitam sahaja pemaju-pemaju berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) cawangan Sarawak di sini pada Ahad.

Selain itu Zuraida berkata, pihaknya juga akan mewujudkan satu tabung di mana pemaju yang ingin membangunkan sesebuah projek perumahan perlu memperuntukkan sejumlah dana ke dalam tabung berkenaan.

“Dana itu akan digunakan sekiranya terdapat projek terbengkalai yang ditinggalkan oleh pemaju terbabit agar ia dapat diselamatkan dan pembeli tidak mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian pejabat SPNB itu, Zuraida berkata, ia merupakan salah satu inisiatif penjenamaan semula agensi itu di Sarawak, yang sudah mula bertapak sejak 2004.

“Orang ramai khususnya golongan B40 di Sarawak boleh berhubung terus dengan SPNB bagi mendapatkan maklumat berkenaan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan pembelian kediaman SPNB yang mampu dimiliki,” katanya.

Sehingga kini di Sarawak, SPNB telah berjaya menyiapkan sebanyak 2,904 unit kediaman serta terdapat beberapa projek lagi yang bakal dilancarkan antaranya di Kuching dan Miri melibatkan 2,187 unit kediaman. - Bernama

Artikel Berkaitan: