KPDNHEP lancar Op Harum kekang salah guna nama Harumanis

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KANGAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Harum 1.0 untuk mengekang penyalahgunaan perihal ‘harumanis’ bagi mangga yang bukan berasal dari Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif dengan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu juga bertujuan memantau pematuhan peniaga dalam urusan jualan mangga eksklusif itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan pada pihak pengguna.

“Penyalahgunaan perihal harumanis bagi mangga yang bukan daripada varieti harumanis Perlis boleh menjejaskan pendapatan serta hasil pengusaha tempatan sebab ada yang guna nama harumanis tapi bukan dari Perlis.

“Harumanis ini identitinya memang (dari) Perlis, tapi ada yang import, kata harumanis juga... Kalau kata harumanis Kemboja, itu bukan harumanis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sijil Logo Buatan Malaysia kepada Syarikat HPA Industries Sdn Bhd di Jejawi di sini pada Sabtu.

Nanta berkata, menerusi Op Harum 1.0, pemantauan yang dikuatkuasakan termasuk memastikan peniaga meletakkan tanda harga serta mempamerkan jenis buah dengan jelas, selain menggunakan alat timbang yang sah.

Beliau berkata, setiap penjual juga perlu menggunakan cap dagangan harumanis yang sah dan jika pengguna mendapati ada mana-mana peniaga gagal berbuat demikian, mereka boleh melaporkan perkara itu kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

“Harapan kementerian adalah dengan pelaksanaan penguatkuasaan ini, peniaga akan lebih beretika dan pengguna dapat menjalankan urus niaga belian dengan lebih bijak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nanta juga mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam sektor peruncitan khususnya supaya terus meningkatkan tahap kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian bagi memastikan sektor perniagaan dapat terus berjalan dengan lancar.

“Setakat ini, untuk sektor peruncitan di bawah kawal selia KPDNHEP, tahap kepatuhan (SOP) sangat tinggi, kita ambil berat perkara ini bagi menjamin agar perniagaan boleh diteruskan dan ekonomi dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya. - Bernama