Naik taraf jalan Temerloh-Bera wajar diteruskan

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera menunjukkan gambar sebelum dan selepas pembinaan jalan pada majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Jalan Dari Kampung Chuat ke Kampung Bukit Imam Sulong hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera menunjukkan gambar sebelum dan selepas pembinaan jalan pada majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Jalan Dari Kampung Chuat ke Kampung Bukit Imam Sulong hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - Projek naik taraf Jalan Temerloh-Bera yang siap baru-baru ini wajar diteruskan hingga ke sempadan Negeri Sembilan bagi menampung peningkatan penggunaan laluan itu.

Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laluan itu merupakan alternatif kepada mereka dari Pantai Timur khususnya dari Pahang barat yang ingin ke selatan tanah air tanpa perlu memasuki Kuala Lumpur.

"Kita menganggarkan kos untuk menaik taraf laluan sejauh 23 kilometer (km) itu sekitar RM350 juta dan jika tidak dapat dibuat hingga ke sempadan Negeri Sembilan, kita harap kerajaan boleh mempertimbangkan pelaksanaannya hingga ke Kemayan (di Bera) bagi boleh menjimatkan kos.

"Laluan itu dilihat boleh mengurangkan kesesakan di lebuh raya ke Kuala Lumpur terutamanya di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong pada musim perayaan. Malah, jalan itu juga semakin diketahui orang awam menyebabkannya sibuk pada hujung minggu," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Menaik taraf Jalan Kampung Chuat ke Kampung Imam Sulong di Kampuang Chuat di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Ir Ahmad Azizi Ismail.

Mengulas mengenai jalan Kampung Chuat, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan)

berkata, kerja naik taraf itu melibatkan laluan sejauh 4.10 km dengan kos akhir RM3 juta yang dimulakan pada 14 Ogos 2019 dan siap 15 Dis tahun lalu, tiga bulan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

"Jalan ini memanfaatkan lebih 1,500 orang dari kawasan sekitar, terutama penduduk Kampung Chuat yang terdiri daripada masyarakat orang asli, untuk ke kampung-kampung tradisional berhampiran, selain boleh ke bandar berdekatan untuk mendapatkan barang keperluan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, kerja naik taraf jalan juga dilaksanakan di dua lagi perkampungan orang asli di Bera dengan masing-masing melibatkan peruntukan berjumlah RM5 juta, iaitu di Kampung Serting yang telah siap manakala kerja-kerja di Kampung Bongkok dijadualkan bermula dalam masa terdekat.

"Ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat orang asli dan saya sendiri telah meminta tok batin sekitar Bera untuk memastikan penduduk mereka tidak membuka kampung serpihan sewenang-wenangnya, ini bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan," katanya. - Bernama