Noh beri amaran tarik sokongan

Noh (dua dari kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Pembangunan Tambahan Maahad Tahfiz Ad-Diniah di di sini pada Ahad.
Noh (dua dari kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Pembangunan Tambahan Maahad Tahfiz Ad-Diniah di di sini pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar memberi amaran tegas termasuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya terdapat usaha melantik seorang penyelaras di kerusi Parlimen yang dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Noh berkata, sekiranya Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih bertegas untuk melantik penyelaras Parlimen, ia bermakna pemimpin itu tidak mengiktiraf beliau sebagai ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN.

"Kalau beliau (Mohamed Azmin) tidak mahu mengiktiraf saya, apa guna saya memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

"Mohamed Azmin jangan cabar saya, jangan ganggu (Parlimen) Tanjong Karang sebab saya masih lagi anggota kerajaan PN hingga mereka terpaksa pula melantik seorang penyelaras Parlimen (Tanjong Karang)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Noh pada masa sama turut meluangkan masa menghadiri Majlis Pelancaran Pembangunan Tambahan Maahad Tahfiz Ad-Diniah di di sini pada Ahad.

Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, beliau kesal dengan tindakan PN Selangor dan meminta perkara itu dikaji sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Adakah mereka tidak mengiktiraf saya sebagai ahli Parlimen dalam kerajaan PN.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta sama ada mereka mengiktiraf saya atau pun tidak. Kalau ini dibuat (melantik penyelaras Parlimen Tanjong Karang) tunggu dan lihat saya akan ambil tindakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PN Selangor runding lantik 18 penyelaras Parlimen

Semalam, Sinar Harian melaporkan, PN Selangor mengadakan rundingan bersama parti komponen untuk melantik 18 penyelaras Parlimen di kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan satu kerusi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, rundingan membabitkan Bersatu, Pas dan Gerakan itu dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Menurutnya, tiga rakan komponen PN itu akan berbincang untuk melantik penyelaras Parlimen yang bertanggungjawab mewakili kerajaan PN yang berfungsi sama seperti ahli Parlimen.