'Mengintip guna jentera kerajaan demi parti dilarang agama'

Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh
A
A
A

SHAH ALAM - Mengintip menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan peribadi, parti masing-masing dan persaingan dalam dapatkan laba politik adalah salah guna kuasa yang dilarang agama.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, intipan ke atas rakyat oleh pemerintah menggunakan jentera dan peralatan moden kerajaan dibenarkan demi menjaga maslahat rakyat keseluruhannya.

Menurutnya, intipan yang dibenarkan termasuklah mengintip pergerakan kartel dadah, kongsi gelap apatah lagi tali barut yang membantu musuh negara dari luar.

"Setiap mukmin terikat dengan syarat dan janji dalam segala urusan muamalahnya sesama mereka.

"Pemerintahan adalah amanah. Menyalahgunakan jentera kerajaan demi membunuh parti dan saingan politik lain adalah khianat, salah dan dosa.

"Ia juga membantutkan usaha memulihkan demokrasi dan integriti yang sedang dituntut oleh seluruh rakyat," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada malam Sabtu.

Beliau mengulas mengenai rakaman audio berdurasi empat minit yang didedahkan dan dikaitkan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suara mirip pemimpin terbabit dilaporkan saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan UMNO bersetuju dengan usul Ahmad Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar kemudian menafikan suara dalam audio berkenaan adalah perbualan mereka dan masing-masing menyatakan hasrat untuk membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya rakaman audio berdurasi empat minit didedahkan dan dikaitkan dua pemimpin itu didalangi jentera kerajaan maka perbuatan sedemikian adalah salah.

"Bukan itu tujuan kekuatan intipan negara. Ia tidak bertujuan sewenang-wenangnya demi kepentingan individu dan parti.

"Saya tidak tahu, jika benarlah intipan audio perbualan Zahid dan Anwar itu, siapakah dalang intipan tersebut. Jika dia individu, dia menanggung dosa.

"Saya harap ia bukan daripada pihak kerajaan. Jika sebaliknya, saya berdoa dan berharap ia bukan daripada komplot Pas. Pas terhalang oleh hukum agama yang diimaninya daripada menggunakan perkara haram demi sampai pada matlamat perjuangan sucinya," katanya.