X

Kindly register in order to view this article
!

Pemilihan UMNO akan ditentukan dalam mesyuarat MKT

Ahmad Maslan
A
A

SHAH ALAM - Keputusan sama ada pemilihan UMNO akan diadakan seperti dijadualkan atau ditangguhkan akan ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan dilakukan pada Ramadan ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sama ada pemilihan berlangsung atau tidak, bergantung kepada keputusan MKT.

“Dalam perlembagaan UMNO, MKT berhak menentukan sama ada pemilihan itu diteruskan atau ditangguhkan 18 bulan. Jika ingin diteruskan, ia kena bermula pada 10 Jun,” katanya dalam sesi wawancara Terus Terang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online pada Sabtu.

Menurut Ahmad, pada kebiasaannya penangguhan pemilihan itu dibuat sekiranya pada tahun berkenaan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU).

“Jadi ada orang bertanya tahun ini tahun pilihan raya ke? Pada saya, secara peribadi tahun ini pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana beliau berpegang apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kira-kira 80 orang ahli Parlimen pada Disember tahun lalu untuk mengadakan PRU pada tahun ini.

Katanya, perkara berkenaan dinyatakan oleh Perdana Menteri sehari selepas Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga.

“Pada saya, Perdana Menteri tidak berbohong lebih-lebih lagi dia bercakap kepada lebih 80 orang ahli Parlimen UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong bajet,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad dalam wawancara berkenaan juga menjelaskan mengapa UMNO dan Bersatu tidak boleh bersama.

Menurutnya, ini kerana Bersatu mengambil ahli-ahli UMNO.

“Kenapa Bersatu ini nak ambil orang UMNO sahaja? Ambillah orang atas pagar ke, orang yang tak ada parti ke, kenapa mengambil ahli parti kami? Sehingga saya terpaksa menulis surat dan memecat orang-orang ini,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mahu Pas membayangkan berada dalam situasi UMNO.

“Kalau Pas kata apa benda ini. Saya nak bagi tahu Pas, wahai Pas yang ada 18 kerusi, bayangkan daripada 18 kerusi itu, katalah 15 kerusi melompat kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

“Lepas itu, kita nak paksa Pas yang tinggal beberapa kerusi itu baik dengan Amanah, boleh ke? Teori politik mana yang membolehkan?” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!