Insiden kebakaran tak jejas operasi HRPB

Kenyataan akhbar Lay Ming mengenai insiden kebakaran yang berlaku di HRPB pada 9 April lalu.
Kenyataan akhbar Lay Ming mengenai insiden kebakaran yang berlaku di HRPB pada 9 April lalu.
A
A
A

IPOH - Kejadian kebakaran di Stor Dewan Bedah Am, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang berlaku pada 9 April lalu tidak menjejaskan operasi keseluruhan hospital tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.

Menurutnya, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan petugas hospital sebelum ketibaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi kejadian.

"Insiden kebakaran tersebut tidak menjejaskan perkhidmatan hospital. Bilik dewan bedah dan sistem lain di dewan bedah tersebut masih boleh digunakan sepenuhnya tanpa sebarang gangguan.

"Stor dewan bedah yang terbakar sedang dilakukan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan oleh pihak hospital sebelum boleh digunakan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Lay Ming berkata, sehingga 11 April, sebanyak tiga bilik dewan bedah telah berfungsi sepenuhnya seperti biasa.

Beliau berkata, punca kejadian tersebut masih belum dikenalpasti dan menunggu laporan penuh hasil siasatan forensik JBPM.

Katanya, Jabatan Kesihatan Perak dan HRPB akan sentiasa memantau keadaan tersebut bagi memastikan perkhidmatan hospital tidak terjejas dan berjalan lancar.

Artikel Berkaitan: