Sokongan #GUn65 terus bertambah

Fahami (kiri) bersama ahli #GUn65 mengadakan pertemuan dengan Howard Lee pada Sabtu menjelaskan mengenai usaha yang digerakkan.
Fahami (kiri) bersama ahli #GUn65 mengadakan pertemuan dengan Howard Lee pada Sabtu menjelaskan mengenai usaha yang digerakkan.
A
A
A

IPOH - Gerakan Undi Calon Bawah 65 (#GUn65) yang menggerakkan usaha agar calon pilihan raya mesti berumur di bawah 65 tahun terus mendapatkan sokongan.

Pengerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, daripada lapan NGO yang memulakan gerakan tersebut sejak 1 April lalu, kini mereka sudah mempunyai 18 NGO untuk bergabung bersama ke arah itu.

FAHAMI
FAHAMI

Menurutnya, sokongan yang diberikan itu membuktikan bahawa mereka mahu bersama-sama dalam usaha peremajaan legislatif.

"Kita bergerak melangkaui parti politik kerana kita mahu semua parti-parti politik meletakkan calon berusia di bawah 65 tahun. Kita sudahpun mengadakan pertemuan dengan sayap pemuda parti-parti politik bagi menyatakan hasrat ini.

"Gerakan ini tidak akan dihentikan sehingga desakan kita dipenuhi. Malah kita akan boikot calon dan parti politik yang meletakkan calon melebihi umur 65 tahun," katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How pada Sabtu.

Menurutnya, #GUn65 juga mengharapkan lebih ramai NGO yang memberikan sokongan terhadap usaha tersebut bagi memastikan tiada lagi ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berusia lebih 65 tahun dipilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Fahami berkata, malah gerakan itu juga menyokong mana-mana usaha termasuk Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) yang mahukan 67 kerusi PRU15 diberikan kepada calon wanita asalkan mereka berusia di bawah 65 tahun.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selepas DAPSY mereka akan bertemu dengan beberapa ketua pemuda parti politik lain seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lain-lain untuk menjelaskan mengenai gerakan tersebut.

"Kita hanya mahukan calon ahli Parlimen dan ADUN sahaja di bawah 65 tahun supaya tidak ada lagi alasan untuk Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak bersidang disebabkan ada wakil rakyat yang berusia.

"Mereka yang berusia melebihi 65 tahun boleh terus terlibat di dalam parti politik masing-masing tetapi bukan menjadi calon PRU," katanya.

Sementara itu, Fahami menjelaskan pihaknya akan turun ke negeri-negeri mengadakan jelajah berkaitan kempen berkenaan.

Pada 1 April lalu, sebanyak lapan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut penambahbaikan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini termasuk had umur calon ahli Parlimen di negara ini disyorkan tidak melebihi 65 tahun.

Lapan pertubuhan meliputi gabungan generasi baharu itu ialah Gerakan Belia 4B Malaysia, Keilmuan Nasional, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Majlis Belia India Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia, Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).

ARTIKEL BERKAITAN: 8 NGO tuntut had umur ahli Parlimen tidak lebih 65 tahun